100K : Temuramah dengan Kapten Conquer Running Team, Udiey

IMG_0849

Seperti yang saya dah post mukadimah 100K sebelum ini, berikut adalah temubual saya dengan Saudara Udiey tentang pengalaman beliau menghabiskan TMMT2017 100K. Temubual ini atau soalan-soalan yang saya ajukan kepada Udiey adalah menjurus daripada segi preparation, race day, dan tips untuk kita semua yang ada hati nak lari 100K satu hari nanti. Semoga kita semua mendapat manfaat dari temubual ini. Sebelum itu, sedikit tambahan. Untuk nak bayangkan jauh mana 100K ini, ia adalah jarak lebih kurang daripada Kuala Lumpur ke Raub, Pahang. Ini screenshot dari google map.

Screen Shot 2017-08-21 at 12.01.27 AM

Boleh saudara kenalkan diri saudara. Pembaca blog saya, pasti ingin mengenali saudara dengan lebih dalam lagi, lebih-lebih lagi selepas saudara berjaya habiskan 100K ultra.

Nama saya Saiful Iswadi. Asal dari Alor Setar, Kedah. Dan saya mengendalikan kelab larian Conquer Running Team. Saya masih bujang. Bujang 3 la tapi.

17333033_185908791911876_8987052645487214592_n
Conquer Running Team, merupakan team larian dari Kedah

Samalah kita. Anyway, sebelum saudara lari 100K dalam TMMT 2017 ( The Magnificent Merapoh Trail 2017 ), pernah tak saudara lari 100 K sebelum ini?

Sebenarnya TMMT 2017 adalah larian 100K pertama saya sepanjang saya menceburi dalam bidang ultra trail. Tahun ini ada cubaan untuk lari 100K tapi tak jadi lari. Saya ada beli bib dari runner di BIB2Let. Namun, disebabkan proses bib transfer ditutup terlalu awal, saya terpaksa jual atas gertakan pihak penganjur. Mereka kata, kalau mereka dapat tahu yang kita pakai bib runner lain, kita tak dibenarkan flag off atas sebab keselamatan. Menjawab soalan anda, kiranya saya tak pernah lari 100K lagi sebelum ni. Cubaan tu ada, tapi tak kesampaian. So lari 100K belum, ini yang pertama.

TTMT FB

Screen Shot 2017-08-11 at 2.31.20 AM

Sebelum 100K, berapa distance paling jauh yang saudara sudah lari. Saya tahu yang saudara dah beberapa kali lari marathon, seingat saya kita pernah lari sekali di Bali Marathon tahun lepas, namun ada tak race yang saudara masuk, melebihi distance marathon?

Ada. Saya masuk 50K ultra trail di GOPENG TRAIL RUN 2017 & PENANG ECO 100 2017. Maknanya sebelum lari 100K, saya dah lari dua kali 50K.

Adakah saudara rasa cukup 2 kali 50K sebelum nak pergi 100K?

Hmmm….bagi saya, 2 kali 50K masih belum mencukupi kalau nak cuba ultra 100K. Sekadar untuk iktibar & pengalaman sahaja saya rasa training sangat penting kalau nak masuk 100K. Lebih -lebih lagi persediaan fizikal & mental. Ini yang paling penting sebenarnya.

50K dua kali. Bagaimana pula dengan full marathon, berapa kali saudara dah lari FM sebelum 100K ini?

Saya baru mula lari Full Marathon pada tahun lepas iaitu 2016. Namun sejak tahun lepas ke tahun ini, jumlah Full Marathon yang saya dah masuk adalah sebanyak 7 FM.

2 TAHUN 7 FM???????

Ya. 7.

Dasyat. Agak-agak, berapa ribu KM saudara dah lari, total race dan training, sebelum 100K ini?

Kalau mengikut apps Nike+ Run Club saya, saya dah lari lebih kurang 5000+ KM. Ini yang saya rekodlah.

Maksudnya, kalau ikut apps Nike+ tu, warna level saudara dah hitam tu…. next stage dah volt.

Heheheheh (ketawa kecil mengusap janggut).

Nike Running Levels

Saudara ada sebut yang saudara ada beli bib Cultra di BIB2LET, yang TMMT 2017 ini saudara beli di sana juga atau saudara dah beli lebih awal?

Bib TMMT 2017 pun saya beli di BIB2LET. Tapi saya ada nego dengan mereka untuk proses bib trannsfer. Mereka setuju dan OK, maka proses bib transfer dilakukan masa REPC (Racekit Collection Day).

Saudara ni nampak macam suka daftar race lambat. Sibuk betul dengan tugas harian. Boleh saya tahu saudara kerja apa ?

😂 Ya tugas harian agak padat dan memang komitmen saya pada kerja itu agak tinggi. Saya kadang-kadang terlupa nak daftar walaupun saya dah senaraikan event pada kalendar LSK yang saya beli dulu. Kebiasaannya bila saya nak daftar, registration dah closed.

Saya berkhidmat sebagai tenaga pengajar/ guru di sekolah tempatan.

Kalau tenaga pengajar ni satu hari nanti saudara bakal jadi coach ni. Ada cita-cita nak jadi coach ke satu hari nanti?

Hehhehehheehhe….. masa hadapan kita tak tahu, tapi yang saya fokus sekarang adalah untuk menjadi runner yang lebih baik.

Biasa larian ultra trail ni ada “mandatory items”. Boleh saudara jelaskan tak, apakah senarai items yang wajib ada untuk larian ultra.

Ini adalah list item yang wajib dari penganjur:

  1. Headlamp
  2. Hydration Bag / Bottles with at least 1 liter of fluid
  3. Food / Energy Gels / Energy Bar with at least 300 calories at start line
  4. Blinkers
  5. Mobile phone
  6. Whistle
  7. Medical Kit (small)
  8. Personal cup ( cawan tidak disediakan untuk menjaga alam sekitar)

Manakala yang saya bawa adalah :

  1. Kasut, Nike Flyknitracer
  2. Kasut, Nike Wildhorse 3
  3. Nike running Tee
  4. Nike running Vest
  5. Salomon Hydration Vest
  6. Nutrisi
  7. Supplement
  8. Energy Bar
  9. Blanket
  10. Cup
  11. Medical Kit
  12. Mobile Phone
  13. Headlamp

Kesemua barang ini saya dah siap awal semasa training saya.

IMG_0842

Kalau saudara tak keberatan, agak-agak berapa total cost untuk semua mandatory item ini, at least pembaca blog saya boleh start simpan duit kalau ada yang teringin nak pergi 100K.

Anggaran kos damaged agak besar sebenarnya kalau nak dibandingkan dengan road. Ini kerana trail running memerlukan banyak item. Sebagai contoh, harga kasut trail sahaja lebih mahal dari harga kasut untuk road. Selain daripada itu, kita kena ada hydration vest untuk air. Botol air tak cukup sebab ultra ni jarak dia jauh. Dan kalau race tu malam, kita kena ada headlamp. Takkan nak lari pegang torchlight. Menggigil tangan. Lain-lain adalah mandatory items yang biasanya organiser akan senaraikan dan dari senarai ini kita boleh agak berapa kos dia.

Untuk makanan, nutrisi & powergel, powerbar mesti kena ada sebab nanti lapar masa lari so mana nak datang sumber tenaga? Ubatan tambahan juga perlu kerana dikhuatiri berlaku kecelakaan/kecemasan. Biasanya first aid kit kecil, sudah memadai tapi pastikan kandungan dia lengkap dan tidak expired.

Bagaimana dengan persediaan saudara untuk larian 100K ini. Maksud saya, berapa lama saudara training? 

Persediaan saya boleh saya katakan agak rapi juga. Saya perlu tambah distance larian harian saya dalam training. Kebiasaannya saya lari 10KM tapi bila nak pergi 100K, saya lari 15KM ke 20KM sehari. Namun larian bukanlah pace laju, tapi dalam pace santai 530-630.

5:30 pace santai? Dem!! Saya ingat pace santai tu dalam 7:00 – 7:30. Takpelah. Berapa jumlah KM seminggu?

Tak tentu. Ada yang 100KM seminggu ada juga yang cecah 200KM seminggu.

Adakah untuk trail running ini saudara berlatih di trail juga atau sekadar di jalan raya?

Jalan raya tak cukup. Saya ada training trail run atau climbing di hutan atau bukit atau gunung yang berdekatan. Oleh kerana saya duduk di Alor Setar, biasanya untuk climbing ni saya pergi Bukit Jitra, Darulaman Hill, Gunung Keriang dan Gunung Jerai. Tujuan dia adalah untuk biasakan dengan keadaan hutan itu sendiri kerana surface larian trail berbeza dengan surface larian road.

Adakah saudara rasa training saudara cukup, atau saudara ada plan untuk training lebih banyak lagi ?

Biasa kalau tanya soalan macam gini mesti kita kata tak cukup punya. Tapi untuk race 100K saya yang pertama ini saya rasa selesa dengan training saya.

Adakah saudara mengikuti training plan tertentu atau saudara training pakai plan hati saudara sendiri?

Saya ada jugak mengikuti beberapa training yang saya google selain daripada menonton youtube cara training dan persediaan untuk trail run. Tengoklah, ada yang sesuai saya akan ikut dan selebihnya latihan ikut kemampuan diri sendiri.

Saya macam dengar cerita preparation saudara ni dah naik seram. Jumpa hantu pun tak seram macam ni. Tak angkat call bini pun tak seram macam ni. Anyway, boleh saudara cerita pengalaman atau susur galur journey saudara menuju tempat race.

Pada 3 Ogos 2017, saya bertolak dari Alor Setar ke Butterworth dengan menaiki komuter. Sampai di sana saya disambut oleh trail master Yadd dan Arie. Kedua mereka ini dari Conquer Running Team juga. Kami bersembang panjang. Banyak yang mereka share tentang trail run sambil makan char kue teow. Kira saya ada dapat last minutes tips dari rakan yang dah mahir dengan trail. Malam tu saya stay di rumah Yadd.

Besoknya jam 8 pagi saya bertolak dari Juru ke Merapoh. Team UR (Utara Runnaz) ada sekali. Kami ikut jalan Cameron Highlands, terus ke Gua Musang dan akhirnya sampai Merapoh. Seingat saya kami sampai jam 1 tengah hari di SMK Merapoh untuk REPC.

Di situ saya ada jumpa kenalan trail runner yang lain. Selesai solat jumaat, saya berehat.

IMG_0843

Pukul berapa briefing untuk race?

Briefing start jam 4. Penganjur bagi penerangan dan mostly fokus kepada route agar runner tak sesat. Satu lagi faktor adalah security atau keselamatan.

Kalau saya tanya 3 benda paling penting tentang security, boleh saudara kongsikan apa yang paling penting untuk 100K ini?

Pertama adalah keselamatan diri. Perlu ada headlamp dan blinker sebab keadaan hutan teramat gelap. Headlamp untuk suluh jalan yang kita nak lari, manakala blinker itu supaya runner lain nampak kita. Mana tau kalau kita tersadung akar, jatuh dan pengsan, at least blinker tu berkelip so runner lain boleh nampak. Itu pun kalau tak jatuh jauh dalam gaung lah.

Yang kedua adalah handphone. Ini wajib sebab kalau ada emergency kita boleh communicate. Kalau tak ada handphone, macam mana kita nak call? Handphone tu jangan pulak lupa nak charge. Kalau bawak handphone tak ada batteri tak ada gunanya juga. Bagus kalau ada powerbank sekali.

Yang ketiga itu saya rasa kita kena sentiasa waspada dengan keadaan semasa. Maksud saya masa kita lari tu kena sentiasa peka. Trail dalam hutan, mungkin ada binatang buas. Ada peserta yang ternampak ular melintas berenang dalam sungai. Sehari selepas event, salah seorang penganjur ada masuk semula trail merapoh itu dan terjumpa kesan tapak kaki harimau di route TMMT.

Selepas habis briefing, saudara buat apa? Race start malamkan?

Saya ambil peluang untuk berehat. Sambil tu saya siapkan kelengkapan. Basically untuk race ini setiap runner wajib ada dropbag. Maksudnya, ada satu set bag spare.

Kenapa kena ada dropbag?

Pertama hydration vest tu yang kita pakai. Yang ini adalah mandatory items. Kita wajib bawak masa race sebab kalau tak nanti disqualified. Yang kedua pula adalah 2nd bag atau dropbag. Beg ini kita tinggalkan pada penganjur untuk dibawa ke CP tertentu. Dalam bag ini ada barang keperluan seperti baju, seluar atau kasut. Makanan extra pun kita letak dalam bag ni sebab takkan kita nak lari bawa bag dari mula race sampai habis. Berat tu.

Melalui IG saudara, saya tengok saudara siap prepare 2 kasut. Kenapa ya?

Oh, itu. Actually 2 pasang kasut ini adalah sebagai spare. Kita tak tahu kondisi larian mungkin kasut tu basah sebab hujan atau lumpur atau lecak atau masuk sungai. Kalau tak ada kasut spare, kita kena lari pakai kasut yang sama sepanjang race. Sesetengah orang mungkin OK tapi bagi saya keselesaan itu penting. Kalau ada spare kita boleh tukar kasut.

Adakah mesti 2 kasut, atau satu sahaja dah cukup?

Sebenarnya depends pada race. 2 pasang bagi saya ini hanya untuk race 100K. Kalau race 50K sepasang sudah memadai.

Persedian memang mantap. Sekarang macam mana pula dengan suasana race.

Jam 8:30 malam saya bergegas ke flag off. Sebelum tu saya “drop bag” kat tempat simpan bag dan urusetia akan hantar ke CP6 (Check point 6) untuk kegunaan nanti. Suasana saya tengok sangat ceria dan meriah. Ramai trail runner lain ambil peluang selfie. Ada juga yang sempat bagi tips last minute selain dari bagi motivasi. Kami kemudian mula warm up dan buat apa yang patut sebelum race bermula.

Jam 9:00 malam flag off. Siap ada percikan bunga api di udara sebaik flag off. Meriah betul. Saya mula lari dengan “easy pace” dalam 6:00 ke 6:30 per km. Suasana sebenarnya terlalu padat dan berasak-asak antara trail runner. Saya lari solo. Dalam fikiran saya ini adalah first 100K saya so saya target adalah untuk lari sampai habis.

Biasa trail running ni ada check point yang menunjukkan stage atau phase demi phase. Boleh saudara ceritakan bagaimana pengalaman saudara semasa berlari diantara checkpoint-checkpoint ini?

Boleh. Saya mulakan dengan CP1-CP2 (10-20KM). Dalam jarak 10 – 11 KM, laluan adalah dalam ladang kelapa sawit dan getah. Jalan agak berbukit tapi elevation tak tinggi sangat. “Rolling” sana dan sini tapi keadaan memang gelap. Suasana masih basah mungkin sebab embun. Tanah pulak lecak di beberapa laluan.

Flyknit racer yang saya pakai berkhidmat dengan baik sekali mungkin sebab trail belum masuk level ganas. Laluan mostly flat dan rolling. Ada satu ketika tu marker kurang jelas. Saya tersesat lebih kurang 500 m di ladang kelapa sawit itu.

Next, CP3-CP4 (30-40KM)

Laluan seterusnya lebih membasahi. Kami lari masuk sungai. Jarak antara 2 – 3 KM. Memang menyegarkan sebab dapat berendam kaki dan badan. Pada ketika ini saya ternampak papan tanda yang tertulis “BEWARE OF THE GHOST” 👻.

IMG_0847

Lari dalam sungai ini agak licin. Batu dalam tu faktor dia. Nasib baik kedalaman sungai tak dalam sangat dan cuma paras lutut. Tapi ada ketika yang buat saya terhoyong hayang kiri kanan. Saya rasa macam berjoget pun ada. Ada trail runner yang lebih malang sebab terjatuh dan terduduk tersembam dalam sungai.

Sampai satu ketika kedalaman sungai meningkat. Saya terpaksa memperlahankan larian dan meranduk sungai sebab air dah paras pinggang. Ketika ini dalam minda saya adalah keselamatan handphone saya.

Flyknitracer saya basah lencun. Socks lagilah pulak. Seingat saya, lari dalam sungai ni dalam sejam.

Agak adventure trail ni sampai masuk dalam sungai. Saya pernah lari trail masuk sungai di Hulu langat tapi saya ingat laluan sungai cuma 10 minit. Ini sejam. Saudara masa lari tu ada cedera apa-apa tak? Yelah, dahlah lari dalam air. Malam pulak tu.

Masa saya meranduk sungai tu kaki (betis) saya tersepak batu di dasar sungai. Punyalah pedih gila tapi saya tahankan juga. Blisters? Itu jangan ceritalah. Dah macam makan nasi. 😋 Oh ya. Ada runner terjumpa ular melintas dalam sungai melalui info rakan saya. Agak bahaya juga sebenarnya.

Seterusnya  CP5-CP6 (50-60KM)

Disini saya berhenti untuk ambil dropbag. Di sini juga saya solat subuh dan berjemaah di masjid. Saya tukar pakaian, kasut, makan dan rehat sebentar. Kali ini saya pakai Nike Wildhorse 3 untuk 40k terakhir sekaligus menandakan tamatlah riwayat Flyknitracer saya untuk 60 KM pertama.

IMG_1084
Flyknit Racer tamat riwayat selepas 60KM

IMG_1085
Nike Wildhorse3 pengganti 40KM seterusnya

Saya tukar kepada vest Nike disini sebab mungkin cuaca akan semakin panas. Lepas subuh, hari dah nak siang. Masa nak sambung lari semula tu saya rasa kepedihan blisters dan bahagian kaki yang terkena batu masa meranduk sungai tu makin sakit. Saya sapu vaseline & tape di jari kaki saya dan berdoa mudah-mudahan blisters tak bertambah lagi.

Maksudnya saudara dah cedera. Saya agak, macam cedera teruk tu. Apa yang membuatkan saudara teruskan juga berlari instead of berhenti lari dan bertaubat di masjid? 😀 Yelah. Alang-alang dah kat masjid.

Ya memang kecederaan yang saya alami tu boleh dikatakan agak teruk jugak, sebab masa berhenti rehat di CP baru rasa sakit itu datang. Perit azab dia memang terasa. Namun kerana 100K saya tak menyerah kalah sebab dah lebih separuh jalan saya lari. Takkan nak berhenti pada 60KM. Kalau 10-20KM pun saya akan cuba semampu mungkin, alhamdulilah mungkin berkat doa di masjid saya dapat teruskan dengan izinNYA.

Dari yang saudara cerita, jarak larian dah lebih 60 KM. Bagaimana 40 KM seterusnya?

OK. CP7-CP8(70-80KM)

Saya sambung larian saya dengan slow jog di tarmac. Ketika itu suasana berkabus. Gerimis embun menemani larian saya. Tapi kepedihan kaki (betis) tu mula terasa balik namun saya malas nak layan dan teruskan sahaja.

Lari punya lari kemudian saya sampai dan memasuki 2 gua. Gua pertama terlalu padat dengan runner 35KM dan 70KM. Ramai yang ambil peluang selfie dan bergambar sepanjang laluan.

IMG_0846 IMG_0845

Gua kedua pula adalah “Gua Hantu Menari”. Suasana agak gelap dan masa ini saya nyalakan headlamp. Keadaan sebenarnya tenang dan sangat indah. Saya tak nampak pun hantu joget disini barangkali sebab dah siang. Saya sempat berfoto dengan cameraman Actionpix Malaysia dan kemudian meneruskan perjalanan dengan kaki yang tercedera. Instead of berlari, masa ini saya terpaksa berjalan  untuk 20KM terakhir sebab kesakitan kaki itu sangat mengganggu.

20 KM tu lagi sikit dah nak habis. Agak sayang kalau saudara tiba-tiba berhenti. Tu dah macam half marathon dah tu. Bagaimana keadaan bila dah tinggal lagi 10K nak habis?

Ok. CP9-FL (90-100KM)

Check point terakhir. Seperti biasa, makanan dah habis di check point ini. Yang tinggal cuma air coke dan air mineral.  100 plus dan goreng pisang dah ghaib. Saya rehat lama juga di sini sebab blisters & shin injured kena batu tadi makin teruk sebenarnya.

Pada 10 K terakhir ini kami diberi ribbon. Laluan lebih mencabar sebab laluan merentasi ladang kelapa sawit berbukit bukau. Naik dan turun dalam suhu yang panas. Saya mula maki diri sendiri sebab tak boleh nak lari dan hanya berjalan dalam suasana panas.

IMG_0848

Selepas pendakian naik turun bukit sejauh 5-6 KM ladang sawit, sekarang saya berjalan di tarmac. Masih lagi bukit bukau dan seingat saya ada dalam 2 – 3 kali saya berhenti berehat di tembok tepi jalan. Masa ni memang panas terik. Jam waktu tu dalam pukul 2 – 3 petang.

Sepanjang 100K ini, saya rasa saat paling teruk adalah terpaksa mendaki bukit di jalan raya (hilly road). Masa ini saya memang maki diri saya kaw-kaw punya. Tapi sebaik sahaja turun bukit, suasana bertukar sekelip mata. Kelihatan Uncle Mohan bersorak dan krew TMMT & Running Project bertepuk tangan memberi semangat. Motivasi saya naik gila-gila sekelip mata.

IMG_0850

Dari jauh dalam 100 – 200 m, saya nampak arch START / FINISH. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan saya apa lagi, mula paksa diri untuk lari sekuat hati walaupun sakit. Saat – saat akhir ni saya sempat lari dalam posse yang menarik untuk foto finish line. Kedengaran juga host berkata secara berseloroh “100KM Finisher Mr. Saiful, nice moustache & beard, original bro?”.

IMG_0851

Saya cuma angkat tangan dan melambai lalu bergegas ke kaunter khemah untuk medal 100KM & finisher tee.

IMG_0841

Epik. Cedera, masih bertenaga dan boleh lagi lari last minute. Berapa total hours saudara lari?

Saya berjaya habiskan 100K ini dalam masa 18 jam lebih. Tapi kalau saya tak cedera saya rasa saya boleh habiskan dalam 15 – 16 jam. Disebabkan 20KM terakhir tu saya berjalan akibat cedera, so situ banyak ambil masa. Padahal fitness dan endurance saya tak masalah sangat. Tapi tak mengapa. Ini cuma larian 100K saya yang pertama. Insya allah next time saya akan perbaik lagi rekod untuk PB dan lebih berhati-hati, selain daripada mencari konklusi untuk menyelesaikan masalah yang saya hadapi ketika trail running.

Saudara dah banyak kali masuk race tapi 100K ini yang pertama. Apa pendapat saudara tentang organiser yang kendalikan acara TMMT2017 ini?

Pada pendapat saya, organiser melakukan yang terbaik untuk TMMT2017 secara keseluruhannya. Walaupun ada kekurangan dari segi marker/makanan/minuman yang mungkin habis untuk peserta 100K, tapi itu adatlah. Mungkin untuk next race bab ini perlu fokus sikit untuk penambahbaikkan.

Apa perasaan saudara selepas berjaya menghabiskan cabaran 100K? Maksud saya, pada saat saudara cross finishing line tu. Apa yang terbayang di minda saudara?

Perasaan tu sukar digambarkan, setelah menempuh pelbagai onak duri sepanjang 100K, sudah tentu saya bersyukur walaupun cedera saya tetap sampai ke garisan penamat. Saat crossing finishing line tu saya terbayang buckle TMMT tapi malang dah lebih 14jam 😋. Tak ada rezeki.

Adakah saudara menyesal masuk 100K?

Menyesal? Sebelum sampai 100K memang ada rasa menyesal, biasalah, semua runner pun mungkin macam ini. Tapi setelah sampai ke garisan penamat, rasa menyesal tu hilang serta merta!  Mungkin pada masa akan datang, saya akan cari pasal lagi dan tak akan fedup untuk join race 100K 😂

Ada tak nasihat atau tips untuk runner yang nak go for 100K ini?

Nasihat saya, pertama lakukan persediaan & training yang cukup. Dan make sure training ini meliputi semua misalnya ada lari di road, ada di trail dan ada hill mountain training. Kedua, banyakkan tonton (youtube) untuk cara/tips untuk trail run. Selain youtube, dapatkan info baca blog/website atau kongsi pengalaman dengan pelari yang berpengalaman dalam ultra trail run.

Ketiga, kalau boleh, dalam training tu lebihkan endurance training dan make sure mentally/physically prepared. Respect the distance dan paling penting antara semua, avoid injuries.

Soalan terakhir, soalan penutup, tapi soalan yang paling penting saya nak tanya. Soalan kritikal, padu maut gaban z potong 2.

Aha, ni nak tanya ada GF ke ni? Kalau nak tanya yang tu saya takda GF. Orang rumah adalah, (ketawa kecil sambil membetulkan misai).

Eh macam mana saudara tau ni? Cekap betul, ini mesti dah selalu kena temuramah. BTW saya tukar soalan lainlah cam gini. OK. Soalan saya berbunyi begini. Kenapa saudara nak lari 100K? Apa motivation saudara untuk participate race 100K ini?

Motivation ye…. hmmm… motivation saya cuma satu. Saya mahu mencabar kemampuan diri 😛

Hmmm….. nampaknya saya pun dah taktau nak tanya apa lagi sebab saya bukan wartawan pun. Anyway, terima kasih saudara Udiey @ Saiful Iswadi kerana sudi berkongsi pengalaman dengan pembaca blog saya. Kisah ini adalah satu inspirasi dan boleh dijadikan panduan untuk naik ke next level. Saya doakan saudara Udiey segera pulih dari kecederaan dan semoga next 100K saudara akan PB. 

Sama-sama.

IMG_0844

Kredit Photo :
Md.Taariq aka kakironda
Actionpix Malaysia
Running Project

***

Update dari penulis,

Untuk ambil feel TMMT2017, ini ada video dari page TMMT. Tahniah kepada semua ultra trail 100K runner yang berjaya habiskan mahupun yang cuba menghabiskan. Hati tisu macam saya ni memang sebak bila tengok betapa kuat dan gigih semangat anda semua menghabiskan cabaran 100K. Anda telah mengajar saya bahawa kesusahan dalam hidup ini tidak ada yang tidak boleh manusia hadapi asalkan mental itu fokus dan tetap pada matlamat yang Satu. Respect! and hundred thumbs up bertubi-tubi!!!

Kongsi di :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *