Berita : Cabar diri berlari jauh

Artikel Penuh boleh baca di arkib sini

KEHEBATAN pelari maraton dunia seperti Haile Gebrselassie, Duncan Kibet dan James Kwambai sememangnya dikagumi seluruh dunia. Statistik rekod dunia dalam sukan maraton lelaki menyaksikan 10 pelari terbaik didominasi pelari benua Afrika.

Mungkin kerana itu juga, kita sering mengaitkan kejayaan pelari benua itu untuk kategori jarak jauh disebabkan oleh faktor geografi.

Ada yang berpendapat stamina, ketahanan diri serta otot tubuh mereka sudah dibentuk sejak kecil apabila perlu meredah berpuluh kilometer hanya untuk mendapat air atau makanan.

Namun, ada pula yang berpendapat sesetengah pelari yang hebat sebenarnya memang dianugerahkan dengan bentuk tubuh serta otot fleksibel untuk bersukan.

Dengan bentuk kaki para pelari itu yang kurus dan panjang, ia mempengaruhi kemenangan mereka. Sebabnya, serat otot pada kaki seperti itu efisien dalam menukarkan oksigen kepada tenaga dan bersifat fleksibel.

Anatomi pelari maraton

Ketika memperkatakan tentang aspek fisiologi seorang pelari maraton, Pengurus Fisioterapi Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur, Ramesh Kumar menyatakan kebiasaannya seseorang pelari pecut memiliki fungsi gerak otot yang pantas, manakala individu yang terlibat dengan larian jarak jauh pula mempunyai pergerakan otot yang lebih perlahan.

Bagaimanapun, otot-otot kaki pelari maraton khususnya kuadriseps (depan paha) dan punggung serta hamstrings lebih fleksibel berbanding orang lain.

Kongsi Rames, kadangkala terdapat segelintir individu secara semula jadi mempunyai gen yang membuatkan otot-otot kaki yang seimbang. Keseimbangan itu, menjadikan mereka pelari yang berjaya dalam arena sukan.

Kerana itu beliau tidak menolak pendapat, sesetengah orang mungkin dilahirkan dengan anugerah untuk bergelar atlet. Namun, jelasnya terdapat banyak faktor lain yang akan menentukan kejayaan seseorang ahli sukan termasuk pelari maraton.

Akui Ramesh, faktor berat badan turut mempengaruhi penglibatan seseorang dalam acara larian jarak jauh. Tidak dinafikan semua ahli olahraga memiliki berat badan yang ringan dan ideal.

Oleh sebab, litar larian terletak di permukaan yang kasar, badan yang ringan bukan sahaja mempercepat pergerakan untuk menemui garisan penamat, bahkan mengelakkan kesakitan di pergelangan kaki dan kekejangan otot yang teruk.

Bagi golongan lelaki, mereka yang kurang daripada 70 kilogram (kg) digalakkan mengambil bahagian dalam acara seperti ini, manakala wanita pula kurang daripada 60 kg.

Jelas beliau lagi, teknik latihan tertentu boleh menghasilkan perubahan dalam keseimbangan otot kaki masing-masing.

Sungguhpun seseorang itu bukan pelari profesional, tetapi jika dia mengikuti latihan seperti merenggang otot-otot kaki secara konsisten lama-kelamaan fleksibiliti itu dapat dicapai.

Kerana itu hakikatnya untuk bergelar pelari maraton bukanlah bermakna ia hak eksklusif untuk pelumba profesional.

Hari ini dapat dilihat banyak acara sukan larian dianjurkan di negara ini. Antara acara larian jarak jauh yang mula meraih perhatian ialah Standard Chartered KL Marathon yang merupakan acara terbesar dan bertaraf dunia dibawakan khas oleh institusi kewangan terkemuka, Standard Chartered.

Acara maraton terbesar itu kini kembali lagi dan bakal berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.

Edisi kedua itu juga mempertandingkan beberapa kategori antaranya maraton 42.195 kilometer (km), separuh maraton 21 km, larian 10 km, larian keluarga 5 km, larian kanak-kanak 3 km dan 80 meter.

Walaupun ramai yang berminat untuk menyertai larian jarak jauh seperti ini, namun tanggapan salah masing-masing bahawa keadaan fisiologi mereka tidak sesuai menyebabkan ada yang mematikan hasrat itu begitu sahaja.

Pelumba ’emas’

Abaikan persepsi lama itu dan teruskan bacaan anda tentang pengalaman dua orang pelari maraton bukan profesional tetapi berjaya mengharungi sukan mencabar stamina itu.

“Bagi menyertai larian maraton, apa yang penting adalah minat, latihan dan diet seimbang.

“Bukan semua orang lahir sebagai pelari maraton yang hebat. Latihan yang konsisten meningkatkan kecergasan fizikal dan membolehkan seseorang menamatkan acara larian itu.

“Semasa berlari fokus kepada sasaran yang dicapai dan tenang. Jika anda panik ataupun tertekan ia bukan sahaja merosot kepantasan larian, malah boleh mengundang masalah lain.

“Bagi seseorang pelari separuh maraton ataupun maraton penuh, latihan larian jarak jauh yang dilakukan seminggu sekali merupakan komponen yang penting. Ini kerana latihan akan meningkatkan simpanan glycogen otot, memperbaiki kebolehan fizikal mengawal jarak larian dan mencapai masa kepantasan yang diingini,” terang Karunanidhy Chengodan, 51, panjang lebar mengenai ciri fizikal dan latihan untuk seorang pelari maraton.

Karu sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam sukan maraton yang berlangsung di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Bezanya lelaki yang mesra dengan panggilan Karu itu, lebih gemar menyertai kategori separuh maraton yang menuntut jarak larian 21 km berbanding 42.195 km.

Pada awal penglibatan, dia telah pun mencuba berlari maraton penuh. Namun, kerana kekurangan latihan menghalang dia meneruskan hasrat itu.

Antara acara maraton luar negara yang pernah disertai Karu termasuklah Nairobi Kenya Marathon (2006), Mumbai Marathon (2006 – 2008), Hong Kong Marathon (2005, 2008) dan Singapore Marathon (2006 – 2008).

Berlari 10 km

Karu berpendapat, pelari bukan profesional sepertinya perlu mendapat latihan larian, cara-cara merenggang otot dan senaman awal yang betul daripada jurulatih di pusat kecergasan untuk mengelakkan kecederaan.

Ini juga bagi membantu seseorang melatih diri sendiri dan memperoleh tahap keseimbangan otot untuk menamatkan larian.

Dia yang berkhidmat sebagai pegawai di Bank Standard Chartered memberitahu bekerja dan menjalankan latihan untuk maraton bukan satu tugas yang mudah. Persiapan dari segi fizikal dan mental yang teguh diperlukan supaya latihan yang dilakukan tidak menjejaskan kerjaya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata jadual latihan maraton peribadinya selalunya bermula pada sebelah petang selepas habis waktu kerja.

Pada hujung minggu pula dia melakukan latihan larian 10 km selama dua jam untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan tahap stamina badan. Kadangkala kepentingan urusan pejabat dan keluarga melambatkan sesi latihan, tetapi dia tidak menjadikan kekangan itu sebagai alasan untuk mengelak daripada membuat latihan.

Walaupun sudah menjangkau usia separuh abad, Karu yang tampil dalam persalinan baju sukan untuk pertemuan Kosmo! pada hari itu kelihatan segak dan sihat.

Katanya, penglibatan dalam sukan maraton secara berterusan membuatkan dia sentiasa berasa muda dan sejahtera. Jarang sekali dia dihidapi penyakit biasa kerana senaman yang dilakukan setiap hari membantunya menyingkirkan segala tekanan dan toksin dalam badan.

Lelaki yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang itu, mengakui dia tidak mengamalkan diet istimewa untuk menjadi pelari maraton. Selain suplemen protein, diet seimbang ditambah sayur-sayuran dan buah-buahan itulah rahsia kecergasan badannya.

Hidup lebih sihat

Dalam pada itu, seorang lagi pelari maraton muda, Lawrence Chin, 26, yang turut serta pada sesi pertemuan itu berkongsi pengalaman menjadi pelari separuh maraton sejak tahun 2009. Galakan dan sokongan daripada pihak majikan Standard Chartered mencungkil minat terhadap larian maraton itu.

Standard Chartered KL Marathon yang berlangsung pada tahun lalu menjadi medan percubaan maraton pertama anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Pada acara itu, dia menyertai kategori larian 10 km dan seterusnya mengembangkan minatnya dengan menyertai pula acara separuh maraton yang berlangsung di Singapura pada Disember lepas.

Selain menjadikan larian maraton itu sebagai hobi semasa, dia juga berusaha membuat sumbangan kepada tabungan amal Standard Chartered. Katanya, setelah melibatkan diri dalam maraton hidupnya lebih aktif, sihat dan sejahtera.

Sebelum ini, masa lapang yang dihabiskan bersama kawan kini sepenuhnya digunakan untuk membuat latihan secara konsisten. Dia juga berharap lebih ramai golongan muda bakal menyertai maraton yang bakal berlangsung pada hujung Jun ini.

Sungguhpun maraton pada kali ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$100,000 iaitu kira-kira RM330,000, namun fokus utama kedua-dua pelari maraton itu lebih tertumpu terhadap pengalaman menyertai acara tersebut daripada ganjaran lumayan yang diterima.




Kongsi di :