Cuba

Screen Shot 2014-09-11 at 4.25.46 PM

Aku bukan mahu buktikan sesuatu tetapi semacam aku perlu lakukan sesuatu. Lalu, petang itu, aku bertekad akan cuba untuk lari sejauh 21K. Walaupun aku tahu, aku cuma baru 2 kali lari 10K, tetapi keazaman aku, melebihi dari pengalaman. Aku mahu tengok, sama ada aku boleh, atau tidak boleh.

Dan petang itu, Taman Rekreasi Bukit Jalil menjadi arena untuk aku menghitung langkah, hingga ke akhir. Suasana larian sangat mengujakan. Seperti, semakin lama, semakin ramai muka-muka baru yang aku temui. Dan seperti, ada ketika, bukan aku sahaja yang cuma melayu di sini.

Kilometer berganti kilometer dan aku pada waktu itu seperti sudah tahu akhir larian ini bagaimana. Dengan permulaan lari pada jam 6.06 petang, sebenarnya agak mustahil untuk capai juga 21K. Ini kerana, melalui congakan aku, sekurang-kurangnya aku perlukan 189 minit atau 3.15 jam untuk habis lari jika average pace seminit adalah 9 minit. Dan kalau mula dah lewat pukul 6, paling kurang habis pukul 9.15 malam. Orang gila sahaja yang lari malam-malam di Taman Rekreasi Bukit Jalil.

Hari semakin gelap. Malam sudah mula. Aku mengambil keputusan untuk habiskan lap terakhir dan tengok sejauh mana aku boleh pergi dalam waktu yang terhad ini. Tiba-tiba, disebelahku datang seorang pelari cina, lelaki, berbaju biru. Dalam keadaan nafas tercungap dia menegur aku. Aku yang tidak berapa dengar lantas mencabut earphone iPod lalu memasang telinga dan berlari sambil menoleh kesebelah.

“U selalu lari sini eh”
“Ya, ya… selalu”
“Berapa K u lari?”
“Saya train at least 5K… mau masuk 10K”
“Ohhh.. bagus-bagus. I tengok u lari sini satu minggu 3 kali atleast… Apa race masuk?”
“Ini paling dekat BSN race…”
“Aaa… ya… bagus… u muda lagi… this year kalau sudah 10K, next year boleh masuk 21K”
“Ya ya…saya target 21K next year… ”
“You lari 21K next, then next year another 21K, then… 3rd year… baru masuk 42K”
“You sudah lari marathon ka?”
“Ya.. sudah.. sekarang saya train untuk 42K Penang Bridge”
“Aaaaa.. ya saya ada masuk juga, tapi 10k saja”
“Bagus-bagus… u kasi masa sikit… jangan terus 42K… u lari dulu 21K… tengok macam mana… u lari 10K, of course u boleh 21K… senang saja. Tapi… bila sampai 30K… mau terus 42K itu yang susah”
“Oh ya ka… saya ingat sudah 21K boleh pergi 42..”
“Kira memang senang… Saya lari sejak 2007… slowly…. tapi lama-lama training mesti boleh”
“Ya la.. mau consistent… rajin juga”
“Sini bukit jalil… satu round… 2.7k… tapi kalau u masuk sini parking kereta, u boleh dapat 4k”
“Oh… itu macam ya… mau pusing banyak kali kalau mau 10K…”
“Ya la… kena jauh sikit… Ok.. anyway nice meeting u…”
“Ya nice meeting u too… u apa nama?”
“Saya NGO. N, G, O… NGO… u apa nama?”
“Saya Fauzi… ”
“Ok Fauzi… see u in Penang…”
“Ya ya… all the best”

Di simpang parking kereta itu, lelaki cina berbaju biru yang bernama Ngo masuk lalu hilang dari pandangan. Dan aku, meneruskan berlari hingga ke hujung jalan. Tepat 12.12K, aku berhenti.

Seingat aku, sepanjang aku lari di sini, tidak pernah ada yang menegur aku. Masing-masing fokus dengan larian masing-masing. Namun, pada aktiviti yang ke 100 ini, aku mendapat kawan baru. Untuk itu, aku bersyukur. Dan sebagai tanda celebrasi aktiviti ke 100 Runkeeper, 12.12K adalah jarak terjauh yang pernah aku lari sepanjang 19 bulan ini. Lalu aku melihat dengan positif, 12.12K adalah satu tanda permulaan kearah 21K yang cemerlang. Ini adalah titik permulaan yang aku cari untuk terus maju. Siapa tahu, jika aku teruskan berlari, fokus, consistant dan teguh iman, boleh jadi 42K yang aku idam, bakal aku genggam sikit masa lagi.

P/S Mr.Ngo : 3 tahun adalah terlalu lama untuk aku tunggu.

Screen Shot 2014-09-11 at 10.01.32 PM

unnamed



Kongsi di :