Erti sebuah kemenangan

Esok saya akan pulang ke KL dari Raub. Malam ini, sementara menunggu final Euro Portugal vs France, saya rasa ada baiknya saya menulis. Karangan saya kali ini, adalah tentang erti sebuah kemenangan.

Bagi yang selalu “compete” mungkin tahu erti mengecap nikmat kemenangan. Namun erti kemenangan yang saya tulis dalam kad raya tahun ini, bukanlah satu hasil dari sebuah pertandingan. Ia bukan tentang ada yang menerima kekalahan akibat ada yang mendapat kemenangan. Ia jauh sekali, tentang peraduan antara 2 entiti yang berbeza.

Erti kemenangan bagi saya, adalah setelah tewas. Itu yang saya faham dan pernah rasa.

Seseorang hanya akan menang, apabila ia tewas. Dan tewas di sini, adalah bukan kerana kelemahan, tetapi sebalik, kerana kekuatan. Sesiapa yang berpuasa, 30 hari, sebenarnya bukan tentang menahan lapar dan dahaga lalu ke pasar ramadhan untuk juadah berbuka. Pada satu level, ia adalah tentang menidakkan keupayaan diri melalui menafikan keupayaan yang telah menjadi kebiasaan. Ayat yang lebih mudah difaham pada konteks yang paling rendah adalah : berhenti makan. Biasanya boleh makan, tetapi memilih untuk, tidak makan. Ini yang saya katakan tewas kerana kekuatan. Bukan tewas kerana kelemahan. Hanya yang kuat azamnya, boleh menahan makan.

Pada satu level lagi, puasa adalah untuk penyucian diri. Ibarat diri yang kotor, mahu dibersihkan sebersihnya. 12 bulan biasa mengumpat gossip bagai, tapi pada satu bulan, seseorang cuba untuk tidak mengumpat gossip bagai. Sifat negatif, cuba dibuang pada bulan yang dianggap mulia ini. Hakikatnya, bukan bulan yang mulia. Tetapi, diri itu, menjadi mulia. Oleh kerana cuba mengelak dari sifat negatif, seseorang menuju masuk ke dalam sifat positif. Ini, adalah penyucian diri. Kerana itu mungkin, umpan untuk yang tidak mahu berfikir adalah pahala yang berlipat ganda. Seperti anak kecil, kalau kita mahu mereka lakukan sesuatu yang baik, kita akan beri upah kalau mereka berjaya. Contohnya kalau skor exam dapat nombor satu, abah akan bagi hadiah apa yang kau mahu. Hadiah inilah sebenarnya pahala. Usaha ke arah mendapatkan hadiah (pahala) itu, adalah proses penyucian diri yang penuh dengan sifat positif. Nak dapat nombor satu mesti nak kena study rajin-rajin. Nak jadi rajin, kena ada disiplin. Itukan positif.

Tetapi hikmah puasa, bukan terhenti pada takat penyucian diri sahaja. Hampir 30 tahun berpuasa tentunya ada spektrum yang lebih matang yang ilhamnya datang ketika perut kosong. Ultimatum yang sebenar adalah bukan untuk perut kosong, tetapi hakikatnya diri itu kosong. Diri, ditidak-adakan. Diri, dinafikan. Diri, secara total telah musnah dan binasa secara kesedaran.

Untuk menulis mengapa seseorang perlu mencapai pengosongan diri dalam satu posting adalah sangat tidak adil dan sangat sukar untuk dijelaskan dengan tulisan. Namun, apa yang penting adalah untuk seseorang mencapai pengosongan diri total, lebih besar dan lebih banyak usaha diperlukan untuk menewaskan kesedaran asal seseorang hingga ia lebur dan “hilang”. Ramai orang menahan lapar dan dahaga. Sikit yang menahan dari hal-hal negatif. Jarang pula yang menahan dari keterlupaan bahawa segalanya adalah sifat sementara sahaja.

Screen Shot 2016-07-11 at 3.13.00 AM

Kerana itu, bagi yang mencapai ultimatum ini, mereka akan merayakan “kemenangan”. Kemenangan yang paling tinggi (yang saya agaklah) adalah kerana kejayaan seseorang menewaskan dirinya sendiri hingga ia sedar, siapa yang sebenar berkuasa atas segala sesuatu.

Peraduan satu entiti ini sebenarnya lebih mencabar dan lebih sukar untuk terus mara dan terus mara menjadi johan berbanding peraduan antara 2 entiti. Sekiranya kita berlumba lari dengan kawan, dengan jelas kita boleh melihat siapa di hadapan dan siapa di belakang. Sebaliknya, apabila berlumba dengan diri sendiri, bagaimana pula untuk kita melihat pemenang, kalau yang tewas dan yang menang, adalah satu entiti yang sama. Kerana itu terciptanya ayat “The Winner Stands Alone”. Seorang diri bukan kerana yang lain mati tetapi memang sebab semulajadi seorang diri dan yang tinggal adalah (hanyalah) yang asli.

Lalu untuk yang meraikan “kemenangan”, saya ucapkan salam.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Jika memandu, pandulah dengan cermat agar jiwa selamat. Dan ya satu lagi, selamat memulakan latihan larian. Race-race utama hanya tinggal beberapa hari lagi.

 

Kongsi di :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *