Full Marathon Report : Borneo International Marathon. Bahagian 2.

BIM05 Dajie Chua

Full Marathon Report : Borneo International Marathon.  Bahagian 2.
Oleh : Remin Anuar

Prolog

Sebulan sebelum race FM di Borneo, aku makin giat mengali research/bacaan tentang semua hal berkaitan larian. Masuk dalam list bookmark aku adalah Deorunner,  Jamie Pang,  Aharis Shariff, Ingerunner,  Steve Way dan yang pasti blog lariansebuahkitab mesti tiap² hari aku singgah.

Realitinya, larian marathon ini kalau setakat cakap di mulut memang kacang. Tapi hendak pasang niat dan sematkan ketat² di hati adalah satu hal yang cukup payah. Tambah seram ketika mengingatkan hakikat yang berlari sejauh 42km itulah adalah satu jarak yang cukup mengazabkan.

Jadi  bermulalah obsesi aku membaca semua hal perihal serta hack terbaik untuk fizikal dan minda aku menyatu bagi melengkapkan perjalanan fasa larian ke kategori full marathon.  Boleh kata semua race report dari blog Deorunner aku khatamlah. Di akui, brader  Deo (atau Azrul Hisyam) memang seorang pelari dan penulis yang bagus kerana perkongsian pengalamannya berfaedah untuk di aplikasikan  dalam corak larian aku.

Selama aku terlibat dalam race lari di Semenanjung, aku agak sudah dua kali berselisih dengan Deo. Kagum aku tengok pace dan konsistensi larian dia. Memang terserlah kerja keras dan passion Deo dalam dunia larian.

Khabarnya saudara Deo bakal lari juga di acara BIM 2016 ini. Kalaulah ditakdirkan berjumpa di stadium, bolehlah tegur dan minta dia sedekah kat aku beberapa kata² hikmat dan azimat sakti untuk aku maintain pace dari awal sampai penghabisan.

Perihal shuttle bas dan Likas

Call time untuk transport dari penganjur adalah jam 1.00 pagi di lima hotel terpilih. Tiket shuttle bas aku beli waktu pungut RPC. Pakej pergi dan balik adalah RM30. Memang terasa mahalnya sebab jarak dari bandar KK ke stadium Likas tu takdalah jauh sangat, sekitar 5km. Sebab aku beli masa collect RPC, brader yang jaga kaunter tu bagi satu cop mohor di bib, tanda bukti aku dah setel bayaran transport.

Belakang Cititel adalah Shang-Ri La Hotel, antara tempat pickup point shuttle bas. Amrud park di situ, waktu siangnya sempat aku singgah sekejap di bilik dia untuk simpan Hamer Gel dalam peti sejuk. Jam 12, aku bangun dari tidur² ayam untuk bersiap. Sebab ada perasaan gemuruh bercampur gagal carbo load Siakap stim, tidur pun tak berapa nak nyenyak.

Nasib baik aku dah awal² lagi flatlay kan keperluan aku di katil sebelah. Tidaklah kelam kabut sangat bila time bab prep untuk bawa barang keperluan di lapangan.

Flatlay BIM

Flatlay ini tujuan dia jelas, bukan nak bermegah ataupun bajet poyo dengan hashtag di media sosial, ia juga membantu menenangkan sel otak orang baru bangun dari tidur yang tak berteman. Sekurang-kurangnya 90% barang keperluan dah siap tersusun untuk aku sumbat di dalam totebag Gundam putih.

Berjalan menyusuri lorong² di belakang hotel ini ada banyak restoran & warung makan. Meriah aku tengok restoran di malam minggu ini dengan kerenah pelanggan dan pengamen. Pengamen atau buskers lokal nampaknya cukup suka main lagu popular Estranged (band asal Sabah) dan band² dari Indo.

Sampai tepat jam 1 pagi, kelibat bas pun belum nampak lagi. Aku, Amrud dan beberapa pelari yang tunggu di lobi hotel mula tengok jam masing² tanda disapproval. Kelihatan di luar jalan besar berhadapan dengan bus stop, crew dari BIM telah pun sampai dan sibuk menyusun meja water station.

1.30 pagi shuttle bus pun sampai, sebab ini adalah trip yang pertama, makanya bas ini masih belum padat. 15 minit kemudian, tibalah kami di Stadium Likas. Laju aku turun untuk cari tandas dan tempat simpan bag. Gun off time untuk FM mula tepat pukul 3, jadi di senggang waktu yang awal ini wajiblah selesaikan beberapa hajat penting supaya nanti tak kalut.

30 minit selepas jam 2, Stadium Likas sudah pun mula dipenuhi dengan kunjungan peserta-peserta full marathon. Secara tak rasmi acara selfie dan wefie pun bermula di lapangan. Aku pun tak lepas peluanglah rakam gambar serba sedikit untuk kenang-kenangan.

Selesai warm up lebih kurang di trek larian stadium yang lembut dan selesa ini, MC pun mulalah membuat pengumuman untuk semua peserta ke garis permulaan. Waktu nak berjalan ke garisan mula, terperasan Kartini masih sibuk berlari-lari fasa akhir warm up dia bersama rakan-rakan. Kartini ni antara pelari wanita yang tak kurang hebatnya di dunia larian lokal. Since dia orang Sabah, aku yakinlah larian homecoming dia di sini mesti cetak PB yang baru.

 

3…2…1…,Blam!!

BIM06
Gambar aku & Amrud bajet happy sebelum dapat penyakit di jalan sekitar Kota Kinabalu

Sebelum Tuan Presiden pihak penganjur meledak letusan karbait dari pistol, sempatlah aku berjabat salam ke Amrud mengucap selamat dan good luck. Untuk kategori full marathon ini boleh tahan ramai jugaklah peserta. Perlahan-lahan aku berjalan menyusuri ruang kosong dari kesemua peserta untuk ke ruangan hadapan. Walaupun namanya adalah larian International, pihak penganjur BIM memilih untuk tidak membuat corral untuk memisahkan elit dengan pelari biasa. Semuanya boleh bergabung sekali.

Selesai ucapan basa-basi Tuan Presiden, bunyi pistol dan semboyan pun kedengaran. Maka bermulalah larian. Berlari-lari anak untuk pecah dari kumpulan yang slow, aku maju ke bahagian kanan jalan untuk berlari ke depan. Modal mencari pace, aku cubalah tengok-tengok siapa yang boleh aku cuba untuk menyamai pace awal perlumbaan.

Waktu awal ini aku cuma set  sekadar di ruangan pace 6 – 7minit perkilometer.  Aku dah mula nampak Amrud mendahului di depan pada km4 sewaktu melewati Gaya Street. Tak semena-mena aku nampak sosok kecil pelari wanita imut yang laju. Tini rupanya, maka aku dengan tak sengaja cubalah kononnya nak ikut pace dia. Tapi haram, setakat 2km sahajalah yang mampu, pasal dia laju sangat untuk aku maintain kelajuan pace  di separuh masa pertama ni agak memang tak lojik. Jadi perlahan² aku dropkan pace.

Waktu ini fikiran masih fresh dan tenang. Stamina masih prima dan sebelum lari tadi aku telan satu paket gel Hamer. Separuh masa pertama larian ini banyak masa dihabiskan berlari di sekitar Kota Kinabalu. Lampu jalan yang menerangi memang banyak membantu mengelak terjerat dengan lubang rongak di jalan. Berlari di waktu gelap memang agak berisiko buat pelari laju kerana keadaan jalan yang kita tidak biasa. Malah kalau dah biasa sekalipun boleh jugak terkena jerat lubang rongak ni.

Aku berjaya lepas km10 dengan masa sub 1. Masih boleh steady lagi dengan baki 32km untuk dihabiskan, pujuk hati kepada otak. Sebab malas nak serabutkan kepala, aku start telan gel Hamer untuk setiap 10km. Jadi seterusnya aku wajib telan pada km20, 30 dan 40. Sebab aku dah telan awal sebelum race, jadi sekarang ini aku hanya ada baki lagi 2 paket. Waktu inilah aku dah mula rasa macam menyesal sikit.

Mujurlah janji organizer  BIM ini boleh dipercayai. Setiap waterstation yang ada, lengkap dengan air mineral dan isotonik yang biasa dan sejuk. Jadi aku taklah rasa ralat sangat. Route marker pun konsisten dan sesekali aku check jugak jarak di jam Suunto untuk kepastian. Syukur semuanya synch.

Aku perasan setelah selesai sahaja melepasi jarak  10km, aku macam boleh cam yang semua pelari melewati jalan balik semula ke Stadium Likas. Waktu ini ada satu gerombolan percussionist  tengah menggila di persimapangan jalan dengan tarian dan ketukan yang khas. Modal buat naikkan semangat dan hiburan untuk aku divertkan otak sekejap dari tekanan. Mula dari sini jugaklah aku dah terhidu bau masin air laut.

Bermula lari di Tanjung Lipat Teluk Likas, aku mula ada rasa macam dah jumpa rhythm pace larian. Kaki dan perut tak bagi apa² isyarat yang mendukacita, tambahan lokasi disini sudah mula memasuki open space. Hanya ada pokok, laluan aspal dan route larian tepi laut yang terbentang. Walaupun masih lagi gelap, tapi layan jugaklah pemandangan dia sebab nampak kemeriahan warna warni lampu Kota Kinabalu yang jelas kelihatan di sebelah kiri pemandangan.

Dari km12 ini, kedengaran azan subuh sayup² dilagukan. Seingat aku, waktu inilah aku ada perasan seorang pelari yang pace larian dia sama sahaja macam aku. Aku toleh kanan dan macam nak tersembur keluar darah di hidung sebab yang pace di sebelah itu adalah pelari awek yang boleh tahan cun. Cuma pakai sports bra adidas dan seluar tight panjanng compression SKINS dan belt utility Ultimate Direction sama macam aku.

The Significant of Pacer

BIM01Pacer
Aku tengah kalut minum sebab nak catch up dengan pacer cun di depan. Pix : Timothy Thomas

Selama pengalaman aku berlari, tak pernah aku amik port langsung pasal pacer. Baik yang rasmi gantung belon itu mahupun yang tak rasmi. Aku banyak fokus pada larian, footstrike dan pernafasan diri. Tetapi bila dah masuk kategori FM ini, aku dah mula rasa betapa signifikannya pacer untuk kita kekalkan rentak dan ‘motivasi’ otak dari tak mudah putus asa.

Secara senyap² otak aku menghantar isyarat menyuruh aku ‘ikat’ pacer cun di sebelah selagi mana aku mampu. Aku bersetuju dan waktu itulah baru aku paham hakikat peri pentingnya berlari dengan  pacer yang sama level dengan kemampuan diri kita. Selama berlari dari km12 hinggalah km18, pace aku konsisten siap aku boleh jeling² lagi tengok keadaan pacer cun di sebelah yang tak kalah berprestasi.

Sampainya di pintu gerbang UMS, aku dah mula rasa macam saspen. Aku ada baca pasal jalan bukit-bukit gila di sini menerusi blog Deorunner.  Setakat yang teruk boleh aku bayang adalah laluan jalan berbukit di UM sajalah. Tetapi di sini, start dah lari masuk ke gerbang dia pun dah mencanak sikit elevation. Waktu itu mujur masih ada lagi pacer cun di sebelah yang jadi peneman. Otak aku terkawal dan belum goyah lagi walaupun dah mula rasa macam penat sikit.

Lepas ‘puas’ layan elevation  di pintu gerbang, barulah nak merasa level dia rata balik. Mula di sini baru aku nampak beberapa route marker yang ada tercatat kata-kata semangat. Sebab matahari pagi pun dah semakin cerah, baru ada rasa feeling untuk menikmati larian pagi dengan cuaca yang amatlah nyaman.

Cuaca yang baik umpama kesegaran titisan embun pagi ini membuat aku yakin yang larian satu  pusingan UMS bukanlah boleh menjadi satu masalah.  Memandangkan pacer aku masih lagi konsisten di sebelah,  aku pun cubalah memulakan perbualan kecil. Pacer cun menyambut perbualan aku dan kami pun rancak berbual sambil berlari. First time aku buat kerja berlari sambil menyembang ini, dan jujurnya ia tidaklah seteruk  seperti yang aku sangka.

Rancak pula si pacer cun ini berbual dengan aku bab pengalaman pertama dia berlari FM di acara tahun ini. Dia bercerita yang dia pernah belajar di UMS dan sudah masak benar dengan laluan  di sini.  Selama berlari dia akan bagi remark tentang jalan dan ketinggian bukit apa yang bakal kami lalui ketika membelok di persimpangan.  Aku dah mula kaget  bila dia bercerita yang ada dua lagi bukit di laluan hadapan.

Waktu memasuki jalan di bukit yang paling tinggi itu, aku dah mula masuk gear rendah bersama rasa bebal yang  cukuplah berat. Memang ‘mendapat’ jugaklah elevation dia. Pasal pacer cun ini dah biasa dengan laluan di sini, perlahan-lahan dia  tinggalkan aku di belakang. Boleh pulak, waktu ini otot kaki dan peha aku mula mengetat, otak pun menghantar isyarat untuk berjalan sahaja. Aku akur dan dari jauh kelibat  pacer cun  hanya tinggal bayang² dari pandangan mata.

Itulah, Orang Suruh buat Hill Training, Tak Nak.

Aku hanya mampu berlari-lari anak gaya pelumba jalan kaki. Maka disini tercetuslah peperangan mental pertama aku bersama jasad dan ruhani. Ada penyesalan bercampur baur dengan sedikit amarah sebab punca dia aku malas training. Waktu kesibukan perdebatan ghaib ruhani dan jasad ini aku mula nampak kelibat Amrud berjalan perlahan-lahan bagai pendaki cedera yang menyimpan tenaga.

Aku pun pergi menyapa Amrud dan dari raut mukanya, boleh ditebak macam ada masalah.  Amrud pun bercerita yang dia terkena serangan cramp yang serius sehingga kaki kanan mengeras dan terkunci.  Jelas Amrud lagi, nasib baik sewaktu kejadian ada seorang petugas polis trafik yang menghulurkan serba sikit bantuan yang patut. Aku pulak terlupa bawak salt stick dan stok pil soluble electrolyte aku dah pun habis. Kalau ada bolehlah jugak aku tolong apa yang mampu. Amrud mengisyaratkan carry on kepada aku, dan katanya sempatlah dia fikir nak DNF.

Lebih kurang dalam 800meter berjalan di bukit kejam ini, sayup-sayup aku nampak water station yang siap dah lengkap dengan buah pisang, air sejuk dan isotonik. Kelihatan crew² yang ada dah bersedia dengan ice dan spray Perskindol. Aku membayangkan yang nikmat sampai dan menjamah pisang  di sini bagai orang kebulur berkelana di padang pasir yang akhirnya sampai di Oasis.

Setelah puas dengan 3 biji pisang bersama minuman air isotonik, semangat seolah macam kembali semula ke jasad. Aku sudah boleh mula berlari , walaupun perlahan tapi perjuangan wajib diteruskan. Ada baki lagi 10km untuk diselesaikan. Walau ada rasa macam 50-50 untuk habiskan larian mengikut target, tapi pentingnya aku harus optimis.

Setelah selesai dengan drama bukit kejam di UMS, peserta larian FM akan belok ke kiri di persimpangan hadapan 1 Borneo Mall bagi meneruskan baki akhir larian. Di persimpangan ini, aku sudah mula berselisih dengan beberapa pelari laju yang sudah selesai u-turn di km30. Bapak laju diorang ini, tak boleh aku bayang macam mana hidup dan rutin latihan larian mereka.

Ini dah kira larian separuh masa kedua, walaupun jalan relatif flat tetapi stamina dan kekuatan mental macam dah mula goyang. Inilah waktu yang paling crucial dan kekuatan mental adalah faktor boleh make or break the pace.

Pace aku drop mendadak, sebab mengingatkan sikit kesakitan luka blister di kaki kiri. Aku dah mula nampak bandage yang aku baru tampal pagi tadi dah macam nak tanggal akibat lelehan air peluh di kaki. Nasib baik apabila sampai di waterstation km30 ada crew St. John. Tak buang masa aku terus minta tolong sukarelawan St.John tampal dressing baru di luka aku. Pasal terpaksa berhenti dan duduk secara mengejut, otot peha kiri  dan kanan aku automatik mengetat.  Aduh…sakit dia memang payah nak bayang!

BIM OfficialPix rasmi yang aku beli dari organizer ketika nak sampai finishing line, nilai gambar ni RM15

Sebelum sampai di water station km30, aku berselisih dengan pacer cun.  Rasa malu pun ada sebab pace aku dan drop slow macam siput. Pacer cun nampak masih steady malah sempat lagi dia bagi high five dan senyuman manis  sebagai tanda ucap selamat kepada aku. Kelat saja muka aku membalas senyuman. Di otak aku, larian separuh masa kedua aku sudah pun gagal. Jadi bolehlah lupakan matlamat finishing time aku.

Baki  10km yang terakhir itu, boleh aku katakan antara larian 10km aku yang paling azab sekali. Berdengung kepala otak aku memikirkan displin aku yang koyak dan tak konsisten dalam menjaga training. Harapan aku ketika menulusuri jarak-jarak akhir hanyalah untuk mampu menghabiskan dalam masa tidak lebih dari 6 jam. Mengenangkan yang kedua-dua belah kaki aku yang meragam, adalah sikit rasa sesal dan serik untuk join larian FM lagi. Kalau latihan tak cukup, inilah akibat dia. Jadi berangan itu kenalah realistik dengan displin latihan kita.

Sampai aku di garis penghabisan, perlahan-lahan aku terdengar bisikan Mick Jagger menyanyikan  you can’t always get what you want. Aku mengelus tanda kecewa dan bersetuju dengan saranan Sir  Mick. Iyalah walaupun awal sangat untuk aku rasa serik lari FM bagi tahun ini, aku sudah pun register larian FM di Maybank Bali untuk bulan Ogos nanti. Untuk percubaan pertama, walaupun keputusan mengecewakan aku berazam untuk tidak lagi mahu letak matlamat tak  realistik bagi larian FM aku yang selanjutnya. Enjoy it while you can and always be grateful.

The End.

Screen Shot 2016-05-28 at 1.45.58 PM

Kongsi di :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *