Mimpi tahun baru : 1 januari 2016

Seingat saya waktu itu saya berada dalam sebuah bangunan. Warnanya kelabu. Saya di tingkat paling bawah. Dan kami sampai situ melalui bullet train.

Bangunan ini di Osaka, Jepun. Dan decision untuk ke Jepun adalah decision spontan satu malam. Saya ke sana dengan isteri dan anak, serta seorang kawan ntah siapa. Bila sampai di dalam bangunan kelabu itu, kami rehat-rehat di bawah sebab letih travel.

Sementara menunggu untuk makan malam, ada sebuah kedai. Kedai ini umpama melihat slide presentation tentang teknologi. Mungkin sebab settingnya di Jepun, teknologi – jepun, jepun – teknologi, you got the idea.

Ada satu teknologi itu yang saya lihat amat menarik. Ianya sebongkah besi yang berbentuk nombor lapan. Bongkah ini kita campak kemana sahaja yang kita mahu, dan jika ada sebarang tulisan, ia akan terpadam. Seperti mechanical eraser mungkin, bongkah ini berupaya memadam apa saja tulisan sama ada yang printed, yang tulis tangan, yang dicat, yang dicop… apa sahaja asalkan tulisan.

Seketika kemudian datang seorang supir mengajak kami untuk naik tingkat atas untuk makan malam. Supir ini yang saya lihat dari raut wajahnya macam dah berumur. Tak muda lagi. Tapi sangat ramah, dan baik sekali.

“Aku dulu askar. Tapi bila pencen, aku decide nak migrate dan duduk di Jepun ni. Aku askar. Air Force… aku boleh cakap  jepun. Walau aku melayu”

Kami sekeluarga mengikut supir ini (yang saya tidak tahu namanya) naik ke tingkat seterusnya.

***
Makan malam itu berlaku pantas sahaja. In fact, saya tidak tahupun apa yang saya makan. Mungkin makanan jepun yang realitinya saya pun tidak pernah makan agaknya. Ketika keluar dari restoran dalam bangunan kelabu itu, saya bertanya kepada isteri,

“Kita sampai ni dah booking bilik ke nak tidur malam ni?”

“Supir dah settlekan semua”

“Kalau macam itu oklah. Awak naik dulu. Saya nak ronda-ronda”

Saya kemudiannya berjalan-jalan meninjau keadaan sekeliling. Baru beberapa langkah menapak, supir tadi muncul kembali. Lalu supir ini bertanya kepada saya,

“Kau nak naik jogging kat tingkat atas tak?”

“Jogging?”

“Ha ya. Jogging. Kat atas ni ada taman hijau. Paling cantik di Jepun ini. Mungkin paling cantik di dunia. Route dia tak jauh. Kalau nak lari 10K, kena pusing 2 kali”

“Boleh juga.” balas saya pendek.

“Kalau begitu kau pergilah naik lif. Aku uruskan keluarga kau. Tempat tidur nak kena make sure semua kemas. Culture Jepun”

Saya kemudiannya berjalan mencari lif. Puas saya jalan, tidak juga saya jumpa. Puas saya cari, tidak juga saya ketemui.

Disaat saya putus asa mencari lif, dan disaat saya hendak patah balik sahaja dan terus berehat di bilik, ntah macam mana saya tercegat di depan lif. Lalu saya kata dalam hati, nasib baik jumpa juga akhirnya.

Saya kemudian cuba menekan butang untuk naik ke atas. Namun, baru saya perasan, semua butang yang ada adalah butang untuk turun. Aneh. Saya cuba merenung dengan teliti kalau saya yang salah lihat.

Dan tiba-tiba lif terbuka, ada seorang lelaki tua jepun didalamnya.

“Mau turun?”

“Oh tidak, saya mahu naik ke atas”

Lif tertutup. Dan semuanya berlalu begitu sahaja. Saya baru perasan. Macam mana orang jepun boleh cakap bahasa melayu?

Saya lalu meninggalkan lif itu lalu berkeputusan untuk mencari tangga. Puas saya pusing lalu baru saya jumpa. Tangga ini rupanya terletak di satu hujung sebelah sana. Dan rupanya, ada lagi satu di hujung sebelah sini.

Bila saya sampai di tangga itu, saya lihat papan tanda di dalam bahasa jepun. Namun anehnya saya faham apa yang tertulis di situ.

– Hanya untuk turun.

Saya lihat tidak ada siapa pun yang turun disitu malah lagi untuk yang naik. Saya cuba guna tangga ini untuk naik, tapi seakan tidak boleh. Seperti ada dinding halimunan yang memisahkan orang dari menggunakan tangga itu untuk naik keatas.

Saya fedup. Lalu saya kemudian patah balik ke hujung sini untuk tangga yang satu lagi. Dan apabila sampai, saya melihat sekali lagi papan tanda yang sama.

– Hanya untuk turun.

Saya kat dalam hati. Kalau macam ini, macam mana aku nak naik ke atas untuk jogging?

Seketika entah macam mana, saya baru perasan yang saya sudah tersedia memakai baju larian. Kasut timberland coklat kusam yang saya pakai sudah menjadi Pegasus 31 biru yang saya belasah tiap-tiap hari untuk lari.

Saya kemudian berlari-lari anak mencari jalan untuk naik ke tangga atas. Nyata usaha saya sia-sia. Dalam keadaan hampir putus asa, saya terserempak semula dengan supir asal tadi. Wajahnya tenang saja dan senyum-seyum kambing bila jumpa saya.

“Tak jumpa jalan naik?”

“Tak. Semuanya turun. Tangga ke… lif ke… semuanya turun”

“Habis macam mana nak naik?”

“Mana saya tahu. Saya ingat nak balik bilik saja”

“Cuba pergi tangga tengah tu. Situ ada jalan naik atas.”

Saya menoleh arah yang supir itu tunjuk. Nyata ada satu tangga yang naik terus keatas. Tangga ini agak sempit. Anak tangganya pendek-pendek. Tadi saya rasa macam dah lalu sini. Tadi tidak ada. Tapi mengapa sekarang ada?

Saya menoleh untuk tanya supir tadi tapi supir itu sudah hilang. Saya lalu terus sahaja ke tangga itu untuk naik ke atas. Sebaik sahaja saya melangkah untuk naik, tiba-tiba saya lihat dari tepi, Saitama One Punch Man berkata kepada saya,

“Hati-hati. Tak semua orang boleh naik dan jogging sampai atas sana”

Saya lalu terbangun. Jam waktu itu pukul 4:30 pagi.

 

Kongsi di :