Mula.

Screen Shot 2014-09-04 at 11.35.32 PM

Hari ini aku lari lagi. Dan target larian aku, adalah 7KM. Hari ini agak lapar. Dan sebelum lari, aku beli buah betik di meja Uncle Cina jual buah. Agar lari tidak perut kosong sangat. Agar lari, fokus 7KM.

Malangnya ia bukan kebiasaan aku untuk makan buah sebelum lari. Dan nyata, makan buah betik beri impak dalaman pada perut ini. Lalu aku berlari kurang tempo seperti biasa. Rythm larian sedikit terganggu dan lagunya sedikit keanehan. Feeling kaki dengan tanah tak berapa nak ada. Connection bagai terputus-putus. Kadang ada, kadang tidak ada. Seperti anak kecil cuba membetulkan langkahnya, begitulah juga aku pada awal larian kali ini.

Namun, pada kilometer pertama, pace larian aku 6:29 minit. Agak laju untuk permulaan jika mahu lari 7KM. aku cuba sebaik mungkin. Mana tahu, boleh pecah rekod sendiri. Paling laju aku buat untuk 7KM adalah 45:57. Tapi aku tak rasa aku pecah rekod hari ini. Sebab kalau pecah rekod, kadangkala rasa masa mula lari itu lain sikit.

Taman Rekreasi Bukit Jalil sememangnya mempunyai trek yang sempurna. Ada naik bukit yang ultra. Ada turun bukit. Ada sebelah tasik. Ada dalam hutan. Ada tengah bandar. Ada keliling kampung. Ada keliling dunia. Ada jambatan. Tapi favourite aku tetap satu. Ada jalan lurus.

Ramai orang lari setiap petang. Sikit orang melayu. Majoriti orang cina. Orang india, ada juga. Dan aku adalah pelari melayu tetap disini. Kerana, kedudukan Taman Rekreasi ini dekat dengan rumah. Dekat juga dengan office sendiri.

Banyak juga kereta yang parking di sini yang tidak kurang hebatnya. Paling mahal aku pernah jumpa Bentley. Range Rover Evoque pun ada. Mercedes atau BMW, bersepah melimpah ruah. Tapi ada juga kereta kecil dan sederhana. Pokoknya, tidak kira kaya atau miskin, semua orang berlari. Begitu juga yang muda dan yang tua. Dan aku setiap hari lari bersama isteri yang aku sayang.

Dalam sedar tak sedar, aku sudah sampai pada kilometer ke 3. Pace aku sekarang adalah 7:13. Dan aku terus berlari tanpa henti. Seingat aku, dulu, awal-awal aku mula lari, aku akan berhenti tak sampai 1 kilometer pun. Kaki sakit. Nafas kencang. Lelah. Penat gila. Tapi itu hampir 19 bulan yang lalu. Dalam setahun lebih sudah. Hari ini, aku boleh lari terus tanpa henti sampai kilometer ke 5. Dan aku terus dan tetap berlari.



Orang pernah bertanya kepada aku. Kenapa aku berlari? Kepada orang-orang yang cliche, aku berikan jawapan yang cliche. aku lari, untuk kesihatan. Tetapi kepada orang-orang yang mental, aku berikan jawapan tidak mental. Aku lari, untuk ketenangan. Untuk orang yang menyayangi aku, aku katakan begini. Aku lari untuk anda dan kamu.

iPod yang melilit pada badan ini sudah mengumandangkan lagu semangat kental aku. Lalu aku tahu, ia adalah lagu pada KM yang terakhir iaitu 7KM. Tiba-tiba, semacam datang satu semangat terbit dari dalam diri dan biasanya bila ia berlaku, aku merasakan semacam darah mendidih dari dalam hingga menyebabkan bulu-bulu roma meremang-remang. Lalu tangan ini berayun secara konstan bagaikan pendulum yang menolak badan ke hadapan. Kaki menjejak dan melompat dari tanah bagaikan pelari Kenyan. Pernafasan menjadi teratur mengikut tempo yang sepatutnya, menghantar udara yang maksimum bukan setakat ke dada, tapi masuk dalam sedalam perut, agar otot-otot ini diberi makan yang cukup. aku memecut tiba-tiba.

Jika ada garisan penamat yang merentangkan tali kemenangan, pasti aku sudah nampak sekarang. Jika ada para peminat yang bersorak, pasti aku sudah dengar sekarang. Jika ada jurufoto-jurufoto yang mengambil gambar, pasti aku silau akibat pancaran flash yang bertubi. Namun ini semua hanyalah visual yang aku projectkan di hadapan, semata-mata untuk aku terus pecut walau tenaga dan daya semakin kehabisan.

Screen Shot 2014-09-04 at 9.05.21 PM

Ya, hari ini aku lari lagi, dan aku baru sahaja menamatkan larian 7KM dengan catatan masa 51:06 sebentar tadi. Pace pada kilometer terakhir adalah 5:43. Nyata aku tidak dapat memecahkan rekod pun kerana kesungguhan aku hari ini, bukan untuk pecah rekod sangat, tapi lebih kepada tepat 7KM. Dan pecutan pada saat akhir ini sangat mengujakan. Letih dan lenguh, tetapi berbaloi untuk dilakukan. Ia menyebabkan jantung ini berdegup kencang.

Secara total, mengikut data analytic dari Runkeeper, aku telah berlari sejauh 383 KM dalam masa setahun lebih. Jika aku mappingkan jarak ini ke dalam peta semenanjung Malaysia, boleh jadi aku sudah sampai di Bukit Tinggi di Pahang jika aku mula lari dari hujung negeri Johor sebelum masuk tambak ke Singapore itu. Aku tidak tahu sejauh mana lagi aku akan lari. Aku tidak tahu kemana aku akan sampai nanti. Tetapi jika kamu mahu lari bersama, inilah masanya untuk kita semua sama-sama lari dan explore hingga akhir larian ini. Biarlah dan pedulikan apa orang kata, asalkan kita semua berlari sampai ke tua bersama. Sesungguhnya ini jalan yang telah ditakdirkan untuk kita. Ini sebenarnya, adalah jalan lurus, yang kita sama-sama cari.

Maka hari ini, sebagai tanda, sebagai kenang-kenangan, aku akan menulis sebuah hikayat, segalanya tentang larian dengan tajuk : Larian sebuah kitab. Moga hikayat ini memberi sedikit erti bagi semua pelari-pelari kental di dalam dunia ini. Kita mungkin tidak sepantas Usain Bolt tapi kita sekurang-kurangnya mempunyai sepasang kaki. Kita mungkin tidak tahu kemana kita akan sampai nanti, tetapi sekurang-kurangnya jika kita mahu, kita sebenarnya berlari untuk pulang. Lah, asal-asalnya, untuk apa kita lari sebenarnya?

Not really a good time but at least its a good run



P/S Kandungan blog ini pada awalnya duduk dalam blog Kaji.la. Bermula dari hari ini, semua kandungan tentang larian dipindahkan kesini.

Kongsi di :