Polis Evo Pt 1

Sebelum balik rumah kelmarin, saya turun tingkat dua di office saya. Saya nak check sama ada printer baru yang kami beli sudah habis setup atau tidak. Printer ini dibeli dari Penang dan harap boleh bantu dan buat banyak printing in house lagi di kala ekonomi meleset.

12070864_965053643610228_2057242513_n
Siang tu masa printer baru sampai

Sambil menunggu printer ini siap setup, kami bercerita tentang filem melayu paling top sekarang iaitu Polis Evo. Menurut Yuseri, filem ini sudah cecah 15 juta di panggung wayang. Yuseri kemudian memasang trailer filem ini di Youtube, dan kami layan trailer ini beramai-ramai.

Daripada trailer ini apa yang boleh saya katakan, filem ini make- believe, detail dan cantik. Pengarah filem ini Ghaz Abu Bakar, adalah senior setahun saya di MMU dulu. O Pajeli adik saya ajak pergi tonton filem ini malam itu juga tapi saya katakan kepada dia begini : “Boleh, nanti gua suruh EL buat susu sendiri, tukar pampers sendiri”

11849366_891307157590046_302549723_n
El sekarang dah nak masuk 3 bulan… abah tak tengok wayang pun takpelah El, abah tengok kau je tiap-tiap hari pun dah cukup

Sejak anak saya lahir, saya agak kurang pergi tengok wayang. Saya kemudian balik rumah dan bersiap untuk jogging.

Semasa saya baru nak keluar jogging (malam) di rumah saya, tiba-tiba ada 3 biji kereta datang menyerbu dan berhenti exactly depan rumah saya. 2 biji dari kanan dan sebiji dari kiri. Kereta yang berhenti depan rumah saya ini adalah proton preve manakala 2 lagi saya tak dapat kenal pasti. Kereta ini datang dan memblock jalan keluar dan masuk.

Waktu itu saya sedang duduk di kerusi rotan di garaj kereta saya sambil nak on Runkeeper.

Tiba-tiba, dari kereta proton preve itu keluar 3 orang lelaki memakai baju biasa, tetapi ada vest biru di dada. Lelaki ini berdiri betul-betul di depan pagar rumah saya, begitu juga kereta proton preve itu dan ini membuatkan kalau saya nak keluar rumah bawak kereta memang tak boleh.

Lelaki ini mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukan kepada rumah jiran sebelah saya.

Dalam keadaan kelam kabut itu saya terdengar mereka berkata dalam suara perlahan, “Anjing tu anjing tu”

Saya tanpa membuang masa berlari ke pintu rumah saya dan membuka, lalu menjerit kepada isteri saya yang sedang menonton TV,

“Bawal EL pergi belakang, bawak EL pergi belakang!”

Dalam keadaan cemas, isteri saya tanpa bertanya terus sahaja mendukung anak saya yang sedang baring dalam rocker, terus berlari anak ke bilik belakang. Saya sempat melihat wajah cemas isteri saya yang berubah menjadi ketakutan.

Saya kemudiannya berlari ke luar dan berdiri di hujung parking kereta untuk melihat apa yang terjadi seterusnya. Sekelip mata, saya melihat lelaki yang berpistol itu melepaskan tembakan dan saya terdengar bunyi anjing mengerang kesakitan.

Ketika itu baru saya tahu, lelaki ini memegang pistol renjatan, dan bunyi renjatan elektrik jelas kedengaran. Manakala jiran saya pula, warga Iran, mula menjerit-jerit kekecohan.

Untuk pengetahuan, jiran saya ini adalah satu keluarga yang mempunyai 3 orang anak perempuan. Anak yang paling besar saya rasa mungkin berumur 19 – 20 tahun manakala yang kecil sekali mungkin 7 – 8 tahun. Mereka semua tidak bersekolah dan saya assume mereka home schooling.

Saya jenis yang tidak campur sangat dengan orang lalu saya pun tidak kenal sangat jiran saya ini. Saya tidak tahu ayahnya kerja apa, dan selama beberapa bulan pindah rumah ini, saya cuma baru sekali bertegur sapa dengan ayahnya. Itupun masa tidak ada elektrik dan saya melihat ayahnya terpaksa panjat pagar untuk masuk ke dalam rumah.

11116652_1056927000988400_1091458061_n
Juju satu masa dulu dah pandai mintak makanan bila tuan dia takde

Mereka membela seekor anjing hitam Rottweiler, dan anjing ini sangat garang dan gila. Bila ada orang yang macam jahat lalu depan rumah, anjing ini akan menyalak kuat gila sampai kadang-kadang anak saya yang sedang tidur terjaga. Tapi anjing ini tidak menyalak kepada saya. Mungkin dia tahu saya orang baik dan juga jiran dia. Anjing ini namanya Juju dan secara sulit tanpa pengetahuan mereka, saya memberi Juju biskut setiap petang yang saya beli dari pet shop.

Apabila Juju ditembak dan mengerang kesakitan, salah seorang anak warga Iran ini keluar dan menjerit-jerit ketakutan. Seketika kemudian saya terdengar lelaki-lelaki yang memakai vest biru ini menjerit, “Police, Police, Get out! Get Out! Get Out!”

Ketika itu baru saya pasti dan sedikit lega, rupa-rupanya mereka ini semuanya polis. Saya kemudian terdengar yang jiran saya menjerit dari dalam rumah sambil mengangkat tangan “OK OK OK”

bersambung…



Kongsi di :