Race : Bali Marathon 2016 Pt 17 – Bib tak muat nak bubuh Bib Clips

Saya sempat lagi carbo loading malam sebelum race itu. Saya turun bawah, jalan seorang diri, dan saya jalan-jalan untuk cari kedai makan.

Mula-mula saya macam teringin nak makan Bakso. Tapi dulu masa saya ke Bandung tahun bila ntah, saya pernah makan Bakso (dengan isteri) tepi jalan. Orang yang jual bakso tu bukan kedai pun tapi gerai bergerak kecik. Seingat saya, Bakso dia memang sedap gila dan saya makan 2 kali. Masa tu saya tak fikir apa-apa pun dan sangat naive cuba makanan lokal. Hasil dia, bila balik Malaysia, saya cirit 2 minggu.

Sejak itu saya tak simply pergi kedai tepi jalan lebih-lebih lagi kalau kadar hygiennya meragukan. Bila saya cerita dekat kawan, dia kata silap haribulan kau makan Bakso daging kucing.

Berhampiran hotel saya ada satu kedai Mi. Nama kedai Mi ini Yo Noodles. Bila saya masuk saya tengok menu, Bakso dia sangat menggiurkan. Cuma masalahnya, kedai ini ada menu lain yang majoritinya Mr. Bab.

Tapi saya jenis yang tak peduli. Sebab saya datang bukan nak makan Mr. Bab. Saya nak makan Bakso. Saya kira ini adalah darurat. Cikgu saya cakap dulu kalau darurat takpe makan Mr. Bab. Tapi ada cikgu saya yang satu lagi cakap pulak, kalau darurat Mr.Bab tu sendiri makan apa? Mesti ada makanan lain kan? So kenapa kita nak makan Mr. Bab?

Hakikatnya pengertian darurat waktu itu bagi saya adalah ketika negara berperang dan tidak ada makanan lain hingga terpaksa makan Mr. Bab. Itu pun kalau Mr.Bab selamat dari peperangan.

Apabila besar, pengertian darurat bagi saya sudah luas. Masa yang terhad bila esok nak pergi race juga dikira darurat bagi saya. Sebab kalau saya lambat tidur, ia akan effect race saya esok. Bila effect race, performance race saya akan terjejas. Dan saya datang ke Bali, mewakili Malaysia dan Kedah OK. Nanti macam mana dengan harapan isteri saya yang rakyat kedah tu?

So boleh kira darurat juga.

Anyway, saya pun order Bakso Sapi (lembu) dengan doa agar tiada unsur Mr.Bab terselit dalam makanan saya. Saya berdoa pada tuhan dengan sesungguh hati.

Apabila pelayan datang dan ingin mengambil order, saya mula order. Malangnya, Bakso Sapi dagingnya udah habis. Saya lalu keluar mencari kedai lain dan terfikir. Barangkali doa saya makbul segera malam itu. Barangkali, Bakso Sapinya ada juga elemen Mr.Bab.

Akhirnya saya singgah sebuah kedai lain dan order spaghetti tomato. Kedai ini agak gelap dan romantik dan cahayanya suram-suram. Agak berjanggut saya tunggu menu masakan dan akhirnya sampai. Saya makan dengan gelojoh namun baru saya perasan. Spaghetti yang saya order ini adalah vegetarian. Haram tak ada daging mahupun ayam. Yelah. Baca menu dalam gelap kut.

Processed with VSCO with f2 preset

Macam nak tertido tunggu masakan

Processed with VSCO with f2 preset

Kuah tomato sahaja penyedap rasa

Setelah kenyang dan buat bayaran, saya balik ke bilik. Waktu berjalan seorang diri sekali lagi saya terfikir. Barangkali kedai yang saya datang itu pun ada menu Mr.Bab. Boleh jadi doa saya termakbul langkau dua kedai. Apapun saya bersyukur. Jika malam itu saya termakan Mr.Bab, itu adalah ketentuan tuhan. Jika saya tak makan pun, itu ketentuan tuhan. Yang penting, saya dah cuba nak elak. Mencari makanan bukan senang di negeri orang. Lainlah kalau saya bawa tukang masak saya sekali (isteri saya). Lagipun, beberapa tahun lepas, saya telah berazam. Saya tidak akan jadikan makanan sebagai alasan untuk tidak mengembara mencari dan mengenal diri. Ini termasuk hal Mr.Bab. Prinsip saya asalkan bukan Mr.Bab, yang lain OK. Itupun depends kalau kedai halal islam bagai tiada Mr.Bab pun kotor, saya tak akan masuk. Saya lagi rela makan di kedai Ahli Kitab yang bersih dari kedai halal yang tak berapa nak bersih.

***

Sampai di bilik, saya mula buat flatlay. Ini adalah untuk membantu agar esok pagi tidak ada drama. Saya janji dengan supir agar datang ambil jam 2:30 pagi. So ini adalah flatlay saya malam itu.

screen-shot-2016-09-13-at-10-49-30-pm

Selesai flatlay, saya cuba lekatkan bib pada baju dengan Bib Clip. Malangnya lubang pada bib race ini kecil dan tidak muat. Ini mengingatkan saya pada peristiwa SCKLM dulu. Nak lekatkan bib dalam train akhirnya pakai pin.

Tapi saya sudah belajar dari kesilapan. Kali ini saya bawak siap-siap pisau untuk tebuk lubang pada lubang bib yang kecik itu. Nak tebuk tu senang saja. Buat pangkah pada lubang itu so tak payah beria nak tebuk lubang bulat. Sebaliknya, pangkah X pada bulat itu akan membesarkan lubang bib itu sedikit.

Gambar di bawah ini boleh beri idea sikit untuk anda.

img_1688-2
img_1689-2

Ketika saya membuat pangkah X pada lubang Bib yang kecil, saya terfikir lagi. Lubang bib yang kecil dan tidak muat bib clips juga darurat. Ia dinamakan, darurat bib clips sebab bib tak muat nak masuk clips. Namun darurat bib clips boleh diatasi dengan sedikit modification dan ubah suai. Itu pun bergantung sama ada adakah kita bersedia untuk mengubahnya atau tidak.

Barangkali hidup ini kita akan menemukan dengan pelbagai jenis darurat tidak kira darurat makanan atau darurat kecil seperti darurat bib clips. Dan bergantung kepada kita bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan darurat itu. Sama ada kita berjaya atau tidak, yang penting kita sudah usaha untuk buat yang terbaik.

Ada sebab kenapa hidup perlukan peraturan. Dan peraturan kadang kala boleh diubah suai mengikut keadaan. Hatta Mr.Bab yang haram pun boleh jadi halal dan kondisi tertentu. Sama ada kita sanggup atau tidak. Itu terpulang masing-masing.

Selesai semua, saya pun tidur. Sejujurnya saya tidak menetapkan lagi matlamat untuk lari pace berapa esok. Di dalam hati saya, saya berharap agar saya habis dengan senyuman. Itu sudah cukup untuk first Full Marathon saya.

Kongsi di :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *