Sahabat sekolah, sahabat gua dan amalan ilmu ghaib Kliwon dalam larian SCKLM 2018

Group whatsapp larian saya heboh dengan cerita “kliwon”, dimana, dikatakan ada keramat yang lari semasa SCKLM baru-baru ini. Mulanya saya tidak faham sangat apa tetapi rupa-rupanya, “kliwon” yang dimaksudkan adalah kepada seorang runner yang mempunyai karamah tinggi, secara tiba-tiba ghaib pada KM10, dan muncul semula di KM42 untuk meraih medal kemenangan.

Malah kerana cerita “kliwon” ini sangat trending sekarang, saya mendapat cerita yang sama di dalam group whatsapp adik beradik saya. Ada link kepada satu portal berita untuk kisah lanjut. Betapa hal ini sangat viral, ia merebak kepada group whatsapp yang majoritinya bukan runner pun. Bayangkan kisah ini menjadi bualan ramai melangkaui kategori group whatsapp! Jika esok pagi saya bangun dan cerita ini keluar dalam group whatsapp anak beranak cucu cicit pakcik makcik adik beradik mak saya, saya akan isytiharkan berkabung selama 40 hari untuk tidak jogging kerana dikhuatiri terjumpa “kliwon” ini semasa training. Bukan apa. Buat masa ini saya masih tak perlukan ilmu ghaib “kliwon” ini lagi sebab niat nak poligami tu tak berapa nak kuat. 😀

Jika anda tidak mahu ketinggalan, boleh google dan cari di internet. Boleh tanya kawan runner kalau nak makcik bawang. Sebagai seorang runner, saya nak letak link cerita “kliwon” ni pun malu, so …… saya tak letaklah. Tapi, ada benda penting yang saya rasa kena tulis sebagai runner bila berlaku kisah sebegini.

Ada 3 pengajaran yang saya rasa boleh kita ambil daripada apa yang berlaku. Untuk hal pengajaran ini, saya datangkan 2 kisah dan satu penutup untuk renungan bersama.

Di didalam Al Quran, ada sebuah kisah terkenal tentang sahibul kahfi. Sahibul atau Ashabul adalah sahabat, manakala Kahfi adalah gua. Kisah ini menceritakan sekumpulan pemuda seramai 7 orang yang ( dalam quran kata ada 3 / 5 atau 7 ) lari dan bersembunyi di dalam gua bersama seekor anjing. Kalau saya tak salah, mereka ini lari daripada kezaliman kerajaan dan duduk bersembunyi akibat berbeza fahaman spiritual. Raja ingin membunuh mereka kerana kepercayaan mereka kontradik dengan kepercayaan raja. Tuhan yang mereka sembah, tidak sama dengan tuhan yang Raja sembah. Raja marah dan ugut. Kalau masih berpegang pada kepercayaan tersebut, mereka akan dibunuh. Mereka diberi masa 2 hari untuk kembali kepada agama asal nenek moyang.

Oleh kerana mereka tahu bahawa tidak ada gunanya lagi untuk konfrantasi, maka 7 pemuda ini mengambil keputusan untuk bersembunyi sementara di dalam gua. Entah macam mana, mereka tertidur ( bersama anjing tersebut ) dan bangkit terjaga pada zaman yang berbeza. Ada element time travel ke masa depan dalam cerita ini. Apabila tersedar dan lapar, seorang dari pemuda ini keluar untuk membeli makanan. Ketika nak membayar, barulah dia sedar bahawa mereka sekarang berada di zaman yang berbeza. Ini kerana duit perak yang diguna, nyata telah obsolete. Suasana bandar juga telah berubah developmentnya, malah gaya hidup, pemakaian juga telah menjadi lain. Rupa-rupanya mereka telah tertidur selama 309 tahun.

Untuk mengkaji lebih lanjut tentang kisah ini, boleh baca quran Surah Al Kahfi ayat 9 – 26. Kita jangan pandang remeh kisah ini sebab ada satu surah khas yang dinamakan sempena peristiwa tersebut. Lalu, apakah pengajaran kisah sahabat gua ini?

Ada banyak pengajaran kerana umum mengetahui, Al Quran bukan sekadar mempunyai maksud tersurat, malah maksud tersirat yang hanya tirainya dibuka, kepada yang mahu memahami. Namun dalam konteks post “Kliwon” ini, saya sampaikan satu pengajaran penting untuk tatapan bersama.

Pengajaran 1 : Kebenaran, “transcend” dari zaman berzaman. Ini adalah kerana, pada zaman 309 tahun kemudian, ada kesangsian atau konflik dalaman manusia zaman itu dari segi spiritual secara umum, manakala secara spesifik pula ada yang tak berapa yakin dengan konsep kebangkitan selepas mati. 7 pemuda sahabat gua ini menjadi bukti kepada masyarakat zaman itu bahawa, segala kemungkinan boleh berlaku dengan kuasa tuhan. Kebenaran, adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan, malah kerana ia benar, ia melangkaui ruang, dan waktu. 

Kisah kedua pula bukan kisah daripada Al Quran. Kisah ini adalah kisah daripada zaman remaja saya sewaktu alam persekolahan. Di sekolah kami dulu, ada musim merentas desa. Merentas desa ini, sebenarnya adalah gambaran awal kepada “Marathon”. Namun oleh kerana kekurangan kesedaran tentang “Marathon” waktu itu, merentas desa adalah sebuah acara larian keluar dari sekolah dan masuk semula ke sekolah secara beramai-ramai. Ia menjadi satu acara yang paling ramai orang tak suka sebab kena lari jauh berkilometer walaupun waktu inilah waktu keemasan untuk usha awek junior pakai baju riadah warna putih, tudung ikat belakang.

Saya dulu sekolah asrama. Budak sekolah asrama, level survival dan berdikari amat tinggi. Hasil daripada ini mendidik kami menjadi lebih kreatif, dan paling penting critical thinking. Saya berani katakan begini kerana saya telah membasuh, menjemur dan menggosok baju, sejak dari form one lagi. Kami guna tangan dan bukan mesin basuh. Sabun ada yang guna sabun sendiri dan ada yang curi sabun kawan. Lagi hebat, saya bukan setakat basuh baju sendiri, malah basuh baju abang-abang dorm saya. Betapa, level berdikari saya sampai kepada level selfless. Ini adalah penting bagi survival hidup di asrama dan sedikit sebanyak, membentuk karektor saya pada hari ini. Dan kerana menjadi kreatif dan critical thinking, instead membasuh baju dan seluar abang dorm, saya cuma merendam baju mereka dalam air sabun yang dicampur dengan bedak sebab kenapa nak basuh lama-lama kalau bukan baju sendiri?

Oleh kerana merentas desa sebuah acara yang tidak digemari ramai, maka ada antara kami yang cuba beat the system agar tidak perlu lari. Orang nampak macam kita lari, tapi sebenarnya kita lari tak jauh mana macam orang lain lari. Tercetusnya idea sebegini adalah kerana kami memang dididik untuk mencari jalan yang cepat dalam menyelesaikan segala masalah. Tercetusnya idea sebegini adalah kerana level survival dan berdikari amat tinggi, selain daripada menjadi kreatif dan critical thinking.

Biasanya bila merentas desa, latihan akan dilakukan bergilir-gilir hari mengikut rumah sukan. Kalau hari ini rumah hijau, hari esok rumah kuning, dan lusa rumah merah, esok kepada lusa itu rumah biru, dan berulang sehingga hari acara merentas desa sebenar.

Biasanya juga, ada seorang leader atau yang paling kuat lari, berada di hadapan, menjadi ikutan dan follower semua orang. Kalau zaman sekarang kita panggil pacer. Pacer ini tak kira junior atau senior, asalkan larian dia laju dan bertahan lama.

Saya rumah hijau. Kisah ini berlaku pada sahabat saya yang rumah biru.

Petang itu, rumah biru keluar training merentas desa. Sebagai abang form 5 dan paling senior, sudah tentu sahabat-sahabat saya ini lari one pack. Dan biasalah menjadi senior, lari mesti belakang sekali. Apa kelas lari kat depan. Orang nampak macam perasaan rebel tu kuat tapi sebenarnya kalau lari kat depan nanti kena potong. Bila kena potong mesti malu sebab nampak lemah. Kalau kena potong dengan awek junior lagilah lemah level loser of the world.

Untuk rumah biru, pacer paling hadapan adalah Mad. Shah. Mad. Shah ini adalah junior kalau tak silap saya dia form 3 masa kami form 5. Maka, umum mengetahui, bila lari, Mad. Shah akan lari depan sekali kemudian diikuti oleh awek-awek junior hingga ke senior kemudian budak-budak junior hingga ke senior yang biasanya one pack, belakang sekali. Mad. Shah juga akan bertindak sebagai leader yang akan menentukan mula training tanpa pengawasan guru. Kira macam Mad. Shah ini pun level pengawas sukan la (atau dia memang seorang pengawas, saya dah lupa)

Petang itu, rumah biru keluar training merentas desa. Mad. Shah seperti biasa mengepalai larian. Sahabat-sahabat saya budak form 5 yang lari one pack, pada hari itu menjadi kreatif lebih dari skala biasa. Instead of lari bersama, mereka segerobolan bersembunyi di dalam longkang beberapa km (dekat) luar sekolah.  Adalah tidak lain dan tidak bukan, culas dan malas untuk training lari. Kehebatan menyelinap dalam ramai usah diragui. Ini kerana bakat “fly” atau lompat pagar waktu malam memang menjadi asas kepada skill menyelinap ini. Oleh kerana latihan larian merentas desa ini jauh, sahabat-sahabat saya budak form 5 yang one pack seramai 7 orang ini tertidur kerana lama menunggu.

Kisah ini lebih kurang kisah Surah Al Kahfi sebenarnya cuma ada beberapa detail yang berbeza. Instead of tidur bersama anjing, saya confident tidak ada anjing dalam longkang waktu itu sebab kalau ada anjing, mesti sahabat saya ni tak tidur sebab hellloooo… anjing kut. Orang melayu mana boleh dengan anjing ni walaupun dalam quran ada cerita pasal tidur dengan anjing. Dan kedua, instead of tidur dalam gua, mereka tidur dalam longkang. Namun, bab berbeza pendapat dan kepercayaan, itu sudah ada dan jelas. Sebab 7 pemuda form 5 ini percaya bahawa latihan merentas desa adalah sia-sia manakala cikgu (pemerintah atau raja) menjadikan ia wajib kerana percaya ada faedahnya. Konflik ini adalah catalyst kepada pemberontakan kecil 7 pemuda form 5 ini lalu bertindak lari ke dalam longkang intead of lari beramai-ramai secara mainstream.

Apabila salah seorang terjaga, didapati hari sudah petang. Sahabat ini lalu mengejut sahabat-sahabat lain. Namun bila mereka baru nak keluar dari longkang, mereka dapati bahawa kelihatan Mad. Shah sedang lari dengan penuh gaya dan tenaga. Lalu salah seorang sahabat atau pemuda berkata, “Mad Shah baru lalu maka budak-budak tak habis lari lagi. Mesti ada follow kat belakang tu” Lalu semua sahabat-sahabat rumah biru saya ini tak jadi keluar dan mengambil masa sedikit menunggu budak-budak lalu agar dapat follow balik the crowd.

Apabila sudah hampir beberapa minit, didapati tidak ada seorang pun yang ikut lari, salah seorang pemuda mula bersuara  “Paling laju Mad. Shah hari ni. Dah berapa minit ni tapi seorang pun tak dapat follow dia lari” Beberapa minit berlalu lagi dan suasana masih kosong, maka tiba-tiba salah seorang pemuda lain lalu berkata, “Aku rasa Mad. Shah hari ni lari last sekali la. Sebab agak tak logik dah lama ni tapi seorang pun tak ada.”  Seorang pemuda lain pula mencelah, “Boleh jadi ke Mad. Shah sesat hari ini?” Dan semua pemuda lain memandangnya dengan muka sinis.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari longkang dan lari kembali ke sekolah. Ada juga yang sempat menadah air dan membasahkan baju buat gaya peluh. Setibanya mereka di pintu pagar sekolah, didapati, Cikgu disiplin sudah menunggu di tepi pondok jaga dengan bayangan wajah api neraka. Nasib sahabat saya rumah biru 7 pemuda form 5 ini agak baik hari itu. Instead of kena spike (lempang sorang 8 kali) atau ketuk ketampi 100 kali, mereka kena lari pusing padang 8 kali. Semua ahli rumah biru dari junior hingga ke senior termasuk Mad. Shah, memberikan sorakan gemuruh dan tanda support yang tidak berbelah bagi. Kisah ini menjadi sejarah dan ingatan yang tidak terpadam dan sering disudahi dengan perkataan “babi” jika diceritakan semula hari ini.

Pengajaran 2 : Kepalsuan, juga, adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan. Kepalsuan, akan terbuka kepada ramai dan apabila ini berlaku, tidak ada gunanya menyesal ibarat energy gel yang sudah expired tarikh luputnya.

***

Ikon Kliwon negara sangat glamour hari ini. In fact, ada kajian misteri bagaimana perihal ghaib selepas KM10 menjadi siasatan bagi mereka yang rajin dan banyak masa untuk diskuss hal illuminati dan konspirasi. Ada yang kata naik MRT dan siap ada kajian MRT mana dia naik dan MRT mana dia turun. Benar atau salah, kepada tuhan kita berserah.

Melalui apps SCKLM, kalau kita tahu nombor bib seorang runner itu, kita boleh terus sahaja semak berapa catatan masa beliau. Catatan masa ini bukan setakat catatan masa akhir, malah, catatan masa dari KM berapa ke KM berapa. Tahun ini, bukan setakat catatan masa malah ada gambar tengah lari. Lagi up dari tahun lepas.

Melalui gambar dari dalam apps, kita boleh tengok kita sampai dengan siapa. Saya tak nak masukkan gambar sesiapa pun dalam posting ini tapi boleh tengok di blog ini sebagai satu contoh gambar dimana seorang runner hebat di malaysia sampai di finishing line. Adat gambar finishing line, bukan gambar kita je ada sebab gambar runner lain pun biasanya turut ada esp. yang sampai sama dengan kita.

Kebenaran di dalam marathon, adalah sangat penting. Dan melalui SCKLM, saya belajar bahawa, jangan cuba nak bawa “Kepalsuan” kerana “Kebenaran”, transcend dari KM ke KM. Ia seperti kisah sahibul kahfi dimana kebenaran transcend dari zaman ke zaman. Secara tersurat kita boleh tengok dan berasa aneh serta hairan kenapa ada certain KM catatan masa dia hilang? Secara tersurat pula, kalau 10K lari 1 jam setengah, masakan finishing time boleh pergi 3 jam setengah? Kalau 10K lari 1 jam setengah, 20K je dah 3 jam. Bukan susah pun, ganda dua je. 42K, patutnya, 1 jam setengah x 4 itu pun kena tambah lagi sebab makin lari biasanya makin letih. Bila makin letih, makin slow. Dan bila makin slow, makin lama.

Seperti pengajaran merentas desa di sekolah dahulu, “Kepalsuan” akhirnya akan terbuka. Bezanya “Kepalsuan” disekolah dulu tak viral sampai ke bandar pekan cuma viral dalam sekolah tetapi “Kepalsuan” hari ini, akan viral sampai ke whatsapp group yang bukan runner pun. Malah lagi, “Kepalsuan” transcend juga seperti “Kebenaran” dari zaman ke zaman kerana dengan adanya gambar atau imej didalam blog atau social media, tahun depan dan tahun seterusnya, pasti kisah “kliwon” akan menjadi buah mulut runners.

Oleh itu kita sampai kepada pengajaran yang ketiga yang paling penting dan utama. Pengajaran ini sangat penting tak kira kita runner atau pun baru nak jadi runner dan pengajaran ini adalah konklusi untuk posting hari ini.

Pengajaran 3 : Kalau ada hati nak masuk marathon, ketahuilah bahawa, berjalan kaki sambil tidur itu pun lebih mulia dari berlari naik MRT, sebab bila viral satu Malaysia, tak ada gua atau longkang kita nak sembunyikan muka kita ini. 

Apalah harga seketul medal, jika nak dibandingkan betapa besar, kemaluan di wajah ini.

Pesanan ikhlas saya kepada kliwon yang berkenaan :

Takpela bro. Past is past. Damage is done. Apa kata bro start berlatih hari ni dan tahun depan bro masuk FM betul2 dan lari sampai habis. Buktikan yang kesilapan itu adalah sesuatu yang boleh dibetulkan. Insyaallah, seperti kisah sahibul tadi, kebenaran akan dipersaksikan dan sesungguh tuhan itu maha pengasih lagi maha mengampuni.

Sekian.

kliwon
Screenshot catatan masa perbezaan antara runner yang berlatih larian siang malam pagi petang hujan ribut bagai dengan runner yang cuma berlatih mengamalkan ilmu ghaib. 

Kongsi di :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *