Sukantara Sekolah Menengah

Dulu di sekolah, saya bukan seorang ahli sukan. Saya tidak aktif seperti kawan-kawan lain. Mereka, ada yang main bola dan menjadi player negeri hingga bermain di Singapura. Mereka, ada yang bermain ragbi hingga badan menjadi sado semulajadi. Mereka, ada yang bermain badminton hingga menjadi wakil negeri. Mereka, dan bermacam lagi sukan seperti kriket, tenis, bola tampar, ping pong dan lain lain lagi semuanya paling tidak, hingga ke peringkat MSSD. Saya, sebaliknya, hanya menyertai Sukantara sekolah, dimana semua pelajar diwajibkan masuk 5 acara sebagai peluang menaikkan ranking rumah sukan. Acara itu adalah lompat jauh, lontar peluru, lari 100 meter, lari 400 meter dan akhir sekali merentas desa. Semua 5 acara ini memberi peluang kepada semua pelajar untuk menyumbang sama ada 2 markah, 1 markah atau 0 markah.

Hanya acara merentas desa memberikan saya peluang menyumbang markah penuh 2. Yang lain cuma 1, dan 0 bagi lontar peluru. Faktor fizikal saya of course memainkan peranan penting dalam penentu. Saya mana larat nak lontar bola besi bulat yang sangat berat itu.

Namun, kerana saya boleh menyumbang 2 mata penuh untuk merentas desa, saya terpilih untuk relay 4 orang lari keliling sekolah dalam acara kemuncak sukan, dan saya disenaraikan dalam team B. Maksudnya, bukan team favourite.

Anyway, kami semua lari sekuat hati dan kebetulan team A dan team B rumah kami berjaya mendapat pingat. Walaupun medal itu entah kemana hari ini, namun kenangan manis naik atas pentas dibawah kategori ahli sukan, sedikit sebanyak menggembirakan si kaki bangku seperti saya.

Di sekolah dulu saya melihat lari adalah peluang bagi saya untuk membuktikan sesuatu. Sekurang-kurangnya saya, bukanlah kaki bangku sangat kalau nak banding dengan orang lain. Bersekolah asrama penuh, kami memang diasuh untuk compete dalam semua segi siang dan malam. Ini termasuk kepada siapa yang sampai ke dewan makan dulu setiap kali waktu lunch atau dinner.

Itu cerita zaman sekolah dulu. Hari ini, erti berlari adalah lebih besar dan lebih mendalam dari apa yang saya pernah lalui dulu. Berlari hari ini bukan sebagai peluang untuk membuktikan yang saya kaki bangku. Ia bukan juga satu seni mempamerkan keegoan diri kepada sesiapa pun. Tidak ada siapa pun suruh kita berlari malah paksa kita berlari macam sekolah dulu. Kita sendiri boleh pilih sama ada mahu lari atau tidak. Kita sendiri boleh pilih jauh mana kita sanggup atau tidak, malah kita juga boleh pilih apa jua alasan untuk tidak buat apa yang kita tidak mahu buat.

Pagi tadi saya hantar isteri saya ke hospital. Semasa dalam perjalanan, dia tanya lagi pada saya kenapa saya berlari. Oleh kerana dia selalu tanya soalan yang sama, maka saya suka memberikan jawapan yang berbeza. Kali ini saya jawab begini :

“Kita lari kerana kita nak bersihkan jiwa kita yang kotor ini. Kita lari dari alam negatif agar kita sampai kepada alam positif”

Jawapan kali ini memang poyo. Tapi hakikatnya, saya telah menulis dulu kenapa saya berlari. Saya berlari kerana hendak mengenal diri. Dan untuk mengenal diri, kaki, lutut, betis dan lain-lain anggota menjerit-jerit memberitahu saya status terkini.

Ini bukan cerita nak collect 2 markah lagi. Zaman asrama sudah tinggal menjadi satu sejarah untuk dikenang, itupun kalau terjumpa kawan seasrama dulu.

Agak-agaklah, macam mana yang dikatakan lari dalam zen tu? Hmmmmm



Kongsi di :